Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanam 101 pokok sempena kemerdekaan Bangladesh

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Sebanyak 101 pohon pokok ditanam semasa Program Menanam Pokok yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam dengan kolaborasi Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) di Taman Riadah, Jalan Pusat Persidangan, hari ini.

    Hadir untuk sama-sama menyempurnakan pelancaran program berkenaan ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

    Turut hadir ialah perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai dari KSSUP dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, warga Bangladesh di Negara Brunei Darussalam serta jemputan khas.

    Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona dalam ucapan ringkasnya berkata bahawa program itu bersempena dengan Ulang Tahun Kelahiran Bapa Negara Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman dan Jubli Emas Kemerdekaan Bangladesh.

    Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali serta berharap program berkenaan akan menjadi inspirasi bagi semua untuk menanam lebih banyak pokok bagi memastikan masa hadapan bumi serta manusia sejagat yang lebih cerah dan hijau.

    Majlis diteruskan dengan perasmian program yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan PYT Nahida Rahman Shumona serta diteruskan dengan acara penanaman pokok.

    Dalam acara itu, sebanyak 41 pohon Ru Runag, 59 pohon Ubah dan satu pohon Neem telah ditanam.

    Yang Berhormat Dato dipetik menyatakan penghargaan kepada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam atas pelaksanaan inisiatif penanaman pokok berkenaan yang diterajui oleh PYT Nahida Rahman Shumona.

    Menurut Suruhanjaya Tinggi Bangladesh, seorang pekebun profesional dan warga Bangladesh, Sumon Banik diamanahkan oleh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh untuk menjaga anak-anak pokok berkenaan bagi tempoh setahun.

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona selepas merasmikan Program Menanam Pokok di Taman Riadah, Jalan Pusat Kebangsaan kelmarin. Sebanyak 101 pokok ditanam untuk dijadikan inspirasi penanaman lebih besar, bagi memastikan masa hadapan bumi dan manusia sejagat yang lebih cerah dan hijau. – Gambar oleh Sim Y.H
    PYT Nahida menanam pokok bersempena Ulang Tahun Kelahiran Bapa Negara Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman dan Jubli Emas Kemerdekaan Bangladesh.
    Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan menanam pokok semasa majlis yang berlangsung di Taman Riadah, Jalan Pusat Persidangan, kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda