Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Matlamat para atlet bukanlah untuk makan angin atau bercuti, tetapi melaksanakan amanah untuk mengharumkan nama negara dengan memberikan tumpuan kepada pertandingan dan mempamerkan semangat juang yang tidak pernah menyerah kalah sehinggalah tamat pertandingan.
Ia merupakan satu amanah yang sepatutnya diterima sebagai satu cabaran, kepada diri sendiri dan janganlah hanya sekadar bertanding sahaja, tanpa menghiraukan matlamat utama iaitu mengharumkan nama negara dengan memperolehi pingat.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu semasa semasa berkenan mengurniakan sabda pada Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA ke-32, Phnom Penh, Kemboja 2023 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas petang tadi.
Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia menasihatkan para pegawai urus setia, pengurus dan jurulatih supaya melaksanakan tugas-tugas mereka, seperti menjaga kebajikan atlet-atlet kebangsaan semasa di Phnom Penh, Kemboja dan sebagainya.
Sebelum mengakhiri sabda, Duli Yang Teramat Mulia mendoakan agar para atlet, pegawai serta jurulatih yang mewakili negara ke Sukan SEA ke-32, 2023 di Phnom Penh, Kemboja, akan sentiasa sihat walafiat, cerdas, berintegriti, berwibawa dan dalam peliharaan Allah SWT jua.
Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murad dan diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi turut berkesempatan mengucapkan tahniah kepada atlet yang terpilih untuk menyertai kejohanan ini dan mengongsikan bahawa pemilihan ini adalah hasil kerja keras dan komitmen masing-masing dalam menjalani latihan yang dijadualkan.
Seterusnya beliau berharap dengan penyertaan negara pada kali ini akan dapat memperluaskan lagi kemahiran yang sedia ada serta dapat menimba pengalaman dengan memberikan persaingan yang sihat kepada atlet-atlet yang akan bertanding nanti.
Kemudian majlis diteruskan dengan penyerahan bendera yang berkenan disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia kepada Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Haji Morshidi, selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA ke-32, Phnom Penh, Kemboja 2023.
Edisi Sukan SEA kali ini, kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 100 orang terdiri daripada 65 orang atlet dan 35 orang pegawai yang mana Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak 12 acara sukan daripada 37 sukan yang dipertandingkan.