Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 28 April – Dengan hasrat untuk menanamkan sikap menjaga kebersihan dalam kalangan penduduk kampung selain untuk memupuk kemuafakatan, satu projek kempen kebersihan telah diadakan di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panaga, di sini, hari ini.
Kempen anjuran Majlis Perundingan Mukim (MPM) Seria dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait tersebut telah disertai sama oleh ahli-ahli Jawatankuasa MPM Seria, kakitangan Jabatan Daerah Belait, agensi-agensi kerajaan lainnya, beberapa buah syarikat dan penduduk kampung.
Antara kerja gotong-royong yang dilakukan pada kempen tersebut termasuk memotong rumput di sepanjang jalan RPN tersebut bagi memastikan laluan pejalan kaki dan persimpangan utama jalan raya dalam keadaan selamat dan tidak terhalang oleh rumput yang terbiar panjang.
Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap yang mengetuai kempen berkenaan memberitahu, kempen itu juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan kawasan kampung.
Menurutnya lagi, di samping itu, ia juga adalah bagi mengeratkan silaturahim serta nilai kekeluargaan dalam kalangan penduduk kampung dan juga ahli-ahli MPM Seria serta bagi menanamkan sikap sentiasa peka dalam sama-sama memastikan kebersihan alam sekitar dan sebagainya.







