NAPLES, ITALI – Makanan, muzik dan budaya telah menjadikan bandar Naples di selatan Itali terkenal di seluruh dunia. Namun terdapat satu lagi tradisi Neapolitan yang menarik minat penduduk tempatan dan pelancong, iaitu cornicello, simbol ikonik kemakmuran, cinta dan kekayaan yang telah menjadi hadiah popular dalam kalangan kekasih atau orang yang sedang dilamun cinta.
Cornicello Neapolitan, azimat berbentuk tanduk kecil, melambang nasib baik dan perlindungan terhadap kejahatan, dan dikaitkan dengan kesuburan dan kekuatan, manakala warna merahnya yang terang dianggap sebagai penawar mujarab terhadap tenaga negatif.
Seperti mana-mana kepercayaan karut lain, kuasa tanduk Neapolitan, untuk menjadi berkesan, mesti mematuhi beberapa peraturan dengan teliti. Yang paling penting adalah ia mestilah dalam bentuk hadiah, dan itulah sebabnya, selama bertahun-tahun, ia telah menjadi hadiah popular yang diberikan oleh pasangan kekasih, sering dihiasi dengan hati kecil.
Asal-usul purbanya telah wujud sejak mitologi Yunani dan Rom, ketika ia menghasilkan semula bentuk tanduk dan warna merah sebagai rujukan kepada Priapus, dewa kesuburan lelaki.
Pekerja atau tukang Neapolitan dengan teliti membuat cornicelli dalam batu karang merah, terracotta dan juga emas atau perak. Tetapi elemen utama tradisi adalah cornicello mestilah mempunyai liang, membolehkannya menyerap semua tenaga negatif, melindungi sahabat-handai dan orang tersayang.
“Cornicello asli mesti dibuat tangan di Naples,” kata Delia D’Alessandro, 30, pengasas Cosmos, sebuah bengkel kecil yang menghasilkan hadiah bertuah itu di tengah-tengah San Gregorio Armeno – lorong sempit Naples yang terkenal dengan ‘pastori,’ atau patung-patung pemandangan.
D’Alessandro dan kakaknya Serena meneruskan kraf yang dipelajari daripada ibu bapa mereka – Vicenzo dan Rosaria – dan kini menjalankan perniagaan keluarga di pusat bersejarah bandar itu.
“Ia adalah cara yang indah untuk meneruskan tradisi keluarga dan menyumbang kepada bandar yang kami cintai,” kata Serena, sambil melukis tanduk terracotta yang dibuat oleh sekumpulan artis muda.
Berakar umbi dalam budaya Naples, tanduk merah menjadi simbol kuat dalam hasil ciptaan pengukir dan pelukis Neapolitan, Lello Esposito.
Esposito, 67, memulakan kerjaya antarabangsanya dari jalanan popular di Naples sebagai artis muda, menjual boneka buatan tangannya Pulcinella, watak terkenal commedia dell’arte Neapolitan.
“Ini adalah tanduk asli yang telah memberi inspirasi kepada orang-orang di bottegas di sekitar bandar,” katanya sambil menunjuk ke arah arca tanduk merah gergasi yang menghiasi kedainya di Scuderie Sansevero, sebuah istana megah di pusat bersejarah Naples.
“Ia merah kerana itulah warna keghairahan,” kata Esposito, yang telah menumpukan penyelidikannya pada hubungan antara seni kontemporari dan tradisi popular.
“Jika kita berfikir tentang Pompeii, kita memikirkan seni Pompeiian. Jadi, tanduk adalah simbol purba sejak lebih 2,000 tahun lalu,” tambahnya.
Ciptaan Esposito, yang diilhamkan oleh simbol ikonik Naples, telah mengembara ke seluruh dunia, dengan salah satu tanduk gergasinya dipamerkan baru-baru ini di Bangkok Art Biennale. – AP