MILAN, 10 OKT – Napoli kini berada di tangga teratas dengan kelebihan dua mata daripada pencabar terdekatnya dalam Seria A selepas Giovanni Simeone membawa pasukannya menang 4-1 ke atas Cremonese kelmarin.
Napoli dengan rekod tanpa kalahnya telah mendahului liga melalui perbezaan jaringan semasa perlawanan hujung minggu lalu. Mereka mendapat kelebihan apabila Atalanta mensia-siakan kelebihan jaringan dua gol dalam perlawanan menentang Udinese yang berakhir dengan kedudukan seri 2-2.
Berbaki 14 minit perlawanan yang sengit, Simeone menjaringkan gol kedua Napoli dengan tandukan jarak dekat yang dibantu oleh hantaran silang Mario Rui.
Ini merupakan gol ke-empat Simeone daripada sembilan perlawanan sejak beliau tiba dari Verona pada Ogos lalu, satu-satunya permulaan positif di selatan Itali di mana dia mendapat sokongan daripada para penyokong Napoli.
“Saya sudah menjadi sebahagian daripada mereka, sedikit Argentina, sedikit Itali,” kata Simeone kepada DAZN.
“Perkara penting dalam bola sepak ialah kualiti masa yang awda ada. Selalunya saya beraksi cemerlang dalam baki minit perlawanan yang singkat, namun tidak membawa apa-apa hasil ketika masa masih panjang.”
Kekalahan teruk tersebut telah menghancurkan semangat waja para pemain Cremonese yang baru sahaja menyamakan kedudukan mereka melalui jaringan sulung Cyriel Dessers dalam liga Seria A seminit dalam separuh masa pertama setelah Matteo Politano menjaringkan gol penalti pada minit ke-26.
Walaupun begitu, rekod tanpa menang pasukan pimpinan Massimiliano Alvini itu kekal di tangga kedua tercorot dengan hanya 3 mata selepas kekalahan ke-enam daripada sembilan perlawanan pertama sejak 1996. – AFP
