Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tang Jie, Ee Wei bersama gandingan baharu tidak beraksi di Terbuka Thailand

    KUALA LUMPUR, 9 MEI – Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei bersama gandingan baharu masing-masing tidak akan beraksi di Terbuka Thailand pada 13 hingga 18 Mei ini.

    Jurulatih beregu campuran Malaysia, Nova Widianto berkata keputusan dibuat bagi meringankan beban kedua-dua gandingan itu susulan jadual padat tiga kejohanan berturut-turut iaitu Terbuka Taiwan yang sedang berlangsung, Terbuka Thailand dan Masters Malaysia pada 20 hingga 25 Mei.

    “Mereka memilih untuk tidak beraksi di Terbuka Thailand tapi akan bermain di Masters Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

    Pada Mac lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan gandingan Tang Jie-Ee Wei dipisahkan sementara susulan cadangan daripada panel kejurulatihan termasuk Rexy Mainaky dan Nova pada Mesyuarat Jawatankuasa Prestasi.

    Keputusan dibuat bagi memberi ruang kepada beregu campuran yang kini menghuni ranking kelima dunia itu, menyelesaikan isu yang timbul antara mereka.

    Berikutan itu, kedua-dua mereka mendapat gandingan baharu menyaksikan Ee Wei digandingan dengan Loo Bing Kun manakala Tang Jie pula bergandingan dengan Chan Wen Tse dan Terbuka Taiwan menjadi ujian pertama mereka.

    Namun, pada April lepas BAM mengumumkan Tang Jie-Ee Wei kembali digandingkan susulan permintaan daripada kedua-dua pemain serta hasil perbincangan menyeluruh antara pasukan kejurulatihan dan pemain.

    Piala Sudirman baru-baru ini menjadi pentas pertama mereka bergandingan semula sebelum beraksi di Terbuka Singapura pada 27 Mei hingga 1 Jun. – Bernama

    Pemain Malaysia Toh Ee Wei (kiri) dan Chen Tang Jie menentang pasangan China semasa perlawanan separuh akhir beregu campuran kejohanan badminton BWF World Tour China Masters 2024 di Shenzhen pada 23 November 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda