Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tang Jie-Ee Wei raih gelaran Terbuka Korea 2024

    KUALA LUMPUR, 1 SEPT – Kejayaan beregu campuran Malaysia, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei meraih gelaran Terbuka Korea 2024 menjadi hadiah bermakna buat Malaysia yang menyambut Hari Kebangsaan ke-67, semalam.

    Pada perlawanan akhir di Stadium Tertutup Mokpo Seoul, Korea Selatan hari ini, gandingan kesembilan dunia itu bagaimanapun terpaksa ‘bermandi peluh’ sebelum menoktahkan kemenangan 17-21, 21-13, 21-13 menewaskan Guo Xin Wa-Li Qian dari China.

    Ia merupakan kali pertama Tang Jie-Ee Wei muncul juara di kejohanan berstatus Super 500 selepas muncul naib juara Masters Thailand 2024 (Super 300) dan Terbuka Switzerland 2024 (Super 300).

    Untuk rekod, pencapaian Tang Jie-Ee Wei di kejohanan berstatus lebih tinggi daripada Super 300 ialah mara ke separuh akhir Terbuka Singapura 2023 (Super 750), separuh akhir Terbuka China 2023 (Super 1,000), separuh akhir Terbuka Artik 2023 (Super 500) dan separuh akhir Masters Malaysia 2024 (Super 500).

    Sementara itu, impian beregu wanita Pearly-Thinaah untuk merangkul gelaran pertama musim ini tidak kesampaian selepas tewas kepada wakil tuan rumah 12-21, 11-21.

    Pada perlawanan akhir yang berlangsung selama 44 minit itu, Pearly dipercayai bergelut dengan kesakitan apabila meminta untuk mendapatkan rawatan pada bahagian buku lali kanannya sebanyak dua kali. – Bernama

    Toh Ee Wei (kanan) dan Chen Tang Jie (kiri) meraih gelaran Terbuka Korea 2024 bagi beregu campuran. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda