Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Negara-negara anggota Komanwel harus terus berusaha ke arah melaksanakan program dan perubahan yang akan membawa kepada pembangunan golongan muda serta mencapai Matlamat Pembangunan Mapan yang berkaitan dengan pembangunan belia menjelang 2030.
Dengan negara-negara Komanwel yang terdiri daripada 53 buah negara dengan keramaian 2.4 bilion orang penduduk merangkumi 60 peratus golongan belia yang berumur di bawah 30 tahun, usaha perlu digandakan untuk mencapai matlamat berkenaan.
Dalam merealisasikan matlamat itu, negara-negara Komanwel hendaklah bekerjasama dan saling membantu dalam menangani punca-punca gejala sosial, politik, alam sekitar dan ekonomi yang menimbulkan cabaran kepada pembangunan belia dan permasalahan yang sering berlaku.
Perkara ini ditekankan oleh Setiausaha Agung Komanwel, Puan Yang Terutama Patricia Scotland dalam ucapan penutupnya pada Mesyuarat Belia Komanwel bagi Pegawai-pegawai Kanan (Rantau Asia) yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.
Beliau turut berkata bahawa pasukan Sekretariat Komanwel sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dan agensi negara Komanwel serta rakan kongsi dan rakan usaha sama mereka termasuk Persatuan Asia Selatan bagi Kerjasama Serantau (SAARC), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dan Bank Pembangunan Asia (ADB).
Secara keseluruhan, ulasnya lagi, mesyuarat itu berjaya mencapai matlamatnya serta merumuskan beberapa pelan tindakan untuk menyumbang kepada masa depan belia rantau Asia yang lebih adil, lebih mampan, lebih selamat dan lebih makmur.
Mesyuarat Pegawai- Pegawai Kanan Belia Komanwel (Rantau Asia) Negara Brunei Darussalam yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 Ogos lalu telah membincangkan pelbagai isu yang menjurus kepada pembangunan belia di negara-negara Komanwel.
