Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tangani segera jenayah berita palsu

    Dalam menghadapi hambatan dunia serba moden, sering kali kita dikejutkan dengan aktiviti-aktiviti penularan berita palsu yang tersebar luas di rantau global terutamanya menerusi platform media sosial.

    Dalam konteks ini, negara kita juga tidak ketinggalan berdepan dengan aktiviti sedemikian di mana dalam ruangan pendapat ini penulis ingin meluahkan kekesalan terhadap tindakan individu yang tidak bertanggungjawab berhubung berita yang telah diubah suai dan tular di media sosial baru-baru ini, di mana seolah-olah ia menggambarkan gangguan sementara bekalan elektrik yang melibatkan semua kawasan di negara ini.

    Tindakan itu bukan sahaja mencemarkan integriti media sosial, tetapi juga merosakkan keyakinan awam terhadap sumber berita yang sahih dan boleh dipercayai. Justeru, dalam era informasi moden ini, kebenaran dan integriti berita adalah penting, di mana tindakan menyebarkan berita palsu atau diubah suai bukan saja dianggap sebagai satu kesalahan etika, tetapi juga boleh membawa kepada gangguan dalam masyarakat.

    Rentetan itu, saya menyeru kepada pihak relevan untuk mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melindungi integriti platform media sosial daripada penyalahgunaan yang serupa.

    Lantaran itu, dalam pandangan penulis, antara saranan yang efektif dalam mengatasi masalah ini, kuncinya terletak pada pendidikan awam.

    Program dan kempen kesedaran awam boleh membantu masyarakat memahami bahaya berita palsu dan bagaimana mengenal pasti maklumat yang sahih.

    Di samping itu, peningkatan pengetahuan literasi digital khasnya dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini adalah dimestikan.

    Pihak sekolah dan institusi pendidikan perlu memberi penekanan kepada literasi digital, mengajar pelajar bagaimana menilai kesahihan sumber dan maklumat yang diterima secara dalam talian.

    Kesimpulannya, kesedaran awam dan pendekatan yang kritis terhadap maklumat adalah signifikan untuk memerangi jenayah penyebaran berita palsu dalam masyarakat kita di negara ini.

    IzamHR

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda