Thursday, February 27, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    TAP teruskan program persaraan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Untuk meningkatkan kesedaran peserta mengenai kepentingan perancangan kewangan serta menyediakan akses yang boleh membantu mereka membuat perancangan kewangan dengan lebih teratur, Tabung Amanah Pekerja (TAP) menerusi Unit Perkhidmatan Persaraan meneruskan Program 10 Tahun Menjelang Persaraan kepada ahli-ahli TAP yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

    Peserta program berkenaan terdiri daripada ahli-ahli TAP yang akan bersara di dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

    Peserta bagi sesi pertama tahun ini terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan dari tiga buah kementerian, iaitu Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pertahanan dan Jabatan Perdana Menteri.

    Sepanjang program berkenaan, beberapa sesi taklimat telah diadakan dengan topik taklimat termasuk perancangan persaraan yang dikongsikan oleh pihak TAP serta cara menghindar daripada penipuan-penipuan kewangan yang disampaikan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).

    Selain itu, beberapa ruangan (booth) daripada BDCB, wakil institusi dari Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA) dan wakil institusi dari Persatuan Bank Brunei (BAB) juga disediakan kepada peserta untuk mendapatkan perkhidmatan Financial Health Check dan mempamerkan produk yang boleh membantu ahli TAP membuat perancangan persaraan mereka.

    Di samping itu, TAP juga menyediakan ruangan untuk ahli-ahli TAP membuat pendaftaran sebagai pengguna portal perkhidmatan dalam talian, e-Amanah.

    Dengan mendaftar sebagai pengguna portal, ahli-ahli boleh mendapatkan baki terkini akaun simpanan TAP/SCP/SPK mereka serta memohon perkhidmatan yang ditawarkan di TAP secara dalam talian pada bila-bila masa.

    Gambar ramai semasa program yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN TAP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda