KUALA LUMPUR, 11 JAN – Aktiviti perkhemahan secara bermalam kini semakin popular dalam kalangan masyarakat, terutama warga kota, kerana tidak perlu pergi jauh untuk bercuti bersama keluarga ataupun sebagai program syarikat dan organisasi.
Namun, tragedi 16 Disember 2022 yang menyaksikan 31 nyawa terkorban dalam bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Gohtong Jaya, Selangor, membuka mata banyak pihak tentang beberapa isu, antaranya aspek keselamatan dan kawal selia industri.
Lebih-lebih lagi didapati tapak perkhemahan sebegini tumbuh ibarat cendawan selepas hujan dengan masing-masing pula menawarkan pelbagai pakej menarik.
Menurut pakar, aspek pelesenan dan permit industri pelancongan ini berada di bawah bidang kuasa beberapa pihak termasuk kerajaan negeri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atau MOTAC, selain Jabatan Pertanian.
Banyak ‘pemantau’
Mengulas isu ini kepada Bernama, Felow Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ahmad Fariz Mohamed berkata buat masa ini lesen operasi pusat perkhemahan dikeluarkan oleh MOTAC serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Bagaimanapun katanya, pada masa sama pengusaha juga harus mendapatkan permit guna tanah yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah serta Jabatan Pertanian negeri.
“Pengusaha mungkin ada lesen operasi namun mereka mungkin tidak memohon permit guna tanah kerana menyangka lesen operasi sudah memadai untuk membolehkan mereka mengusahakan tapak perkhemahan,” jelasnya kepada Bernama baru-baru ini.
Dari segi kawal selia guna tanah pula, beliau berkata tanggungjawab itu tersandar pada kerajaan negeri dan PBT berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, sementara operasi dipantau oleh kerajaan negeri melalui PBT selain MOTAC sendiri.
Malah, katanya, pengendali juga perlu memohon kelulusan pihak berkuasa bagi menyediakan infrastruktur asas kekal untuk menyokong perkhidmatan mereka.
Pengusaha, pengguna perlu tahu
Mengakui trend tapak perkhemahan komersial atau glamping semakin mendapat tempat di hati penggemar aktiviti luar, Ahmad Fariz berkata disebabkan subbidang pelancongan ini masih baharu, kemungkinan besar pengguna sendiri tidak tahu aspek-aspek yang perlu diberi perhatian apabila memilih tapak perkhemahan.
“Fokus pengguna lebih kepada kualiti perkhidmatan, keunikan dan nilai estetik berbanding menyemak keperluan keselamatan dan risiko. Lazimnya, masyarakat akan pergi ke tempat yang mempunyai keunikan tertentu seperti yang dipaparkan di media sosial.
“Tidak ramai pengguna menyemak sama ada pemilik atau pengusaha mempunyai lesen untuk mengendalikan tapak perkhemahan. Di samping itu, tiada syarat yang mewajibkan pemilik memaklumkan kepada pengguna sama ada mereka berlesen atau tidak,” ujarnya.
Namun, tegas beliau, aspek keselamatan persekitaran terletak di bahu pengusaha yang perlu mengenal pasti risiko fizikal dan keadaan tanah di kawasan yang mahu dijadikan tapak perkhemahan.
“Sekiranya ada kawasan yang hendak dibangunkan tapak perkhemahan baharu, pemilik atau pengusaha wajib merujuk kepada garis panduan bagi pembangunan dan operasi di kawasan tanah tinggi, bukit, cerun dan sungai. Jika jelas menunjukkan kawasan itu berisiko tinggi, sepatutnya pembangunan tapak perkhemahan tidak diteruskan.
“Sebahagian besar garis panduan berkaitan dengan pembinaan serta apa sahaja aktiviti di kawasan tanah tinggi, bukit dan cerun sebenarnya boleh diakses dalam talian. Malah, ada dokumen yang boleh dimuat turun di laman sesawang agensi kerajaan dan PBT,” katanya.
Pesat berkembang
Sementara itu, seorang pengusaha yang ditemu bual Bernama melihat perniagaan tersebut sedang berkembang pesat ketika ini.
Menurut Pengarah AsiaCamp Sdn Bhd, Mohd Azizan Yunus, pada ketika ini, terdapat lebih 800 kem aktif di seluruh negara dengan sebahagiannya menjadikan tapak perkhemahan sebagai pernia-gaan utama mereka.
“Jika dahulu perkhemahan hanya di tepi sungai dan dalam hutan, sekarang tidak lagi. Bisnes perkhemahan kini dilakukan di kebun kelapa sawit, kampung, premis lapang hotel, malah kebun sayur,” katanya yang sudah 12 tahun berkecimpung dalam perniagaan itu.
Beliau berkata pemerhatiannya mendapati subbidang itu semakin mendapat sambutan selepas penularan COVID-19 dengan pengusaha sedia ada turut membangunkan tapak perkhemahan baharu.
Namun, disebabkan evolusi yang terlalu cepat, ia memberi cabaran kepada pihak berwajib dalam menyediakan prasarana perlu, katanya dan menambah pengharaman aktiviti berkenaan hanya akan merugikan banyak pihak termasuk kerajaan sendiri.
Tambah baik
Tidak menolak ada ramai pengusaha yang beroperasi tanpa lesen, beliau menggariskan beberapa faktor penyumbang kepada situasi itu, termasuk dasar kerajaan sendiri.
“Pertama, status tanah pertanian yang tidak membenarkan aktiviti perniagaan pelancongan. Suasana ekonomi tidak memberangsangkan pada ketika ini memberi idea kepada pekebun untuk menambah pendapatan melalui aktiviti perniagaan ini (secara haram).
“Kedua, tidak ada bidang pendaftaran (khusus) di bahagian pelesenan PBT menyebabkan pengusaha tidak mendapatkan permit atau lesen untuk mengusahakan perniagaan itu,” kata beliau. Selain itu, keperluan menyediakan kemudahan asas yang tidak setara dengan nilai ekonomi perniagaan, misalnya penyediaan pili bomba yang kosnya mungkin terlalu tinggi bagi tapak perkhemahan kecil.
Menurutnya, aspek berkenaan boleh diselesaikan oleh semua kerajaan negeri dengan menambah baik peraturan dan garis panduan sedia ada.
“AsiaCamp menyambut baik cadangan garis panduan baharu (yang mahu diperkenalkan oleh Selangor) kepada pengusaha aktiviti perkhemahan kerana ia langkah proaktif yang bertepatan. Kami juga ingin mengemukakan beberapa cadangan dalam garis panduan ini.
“Antaranya berhubung peraturan risiko aktiviti tanah tinggi atau di lereng bukit yang bagi kami tidak wajar ditumpukan pada aktiviti perkhemahan semata-mata.
“Ia harus merangkumi aktiviti lain seperti pembukaan kebun, pembinaan infrastruktur awam dan projek pembangunan lain. Ringkasnya, aspek ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh,” kata beliau.
Pada masa sama, beliau berharap syarat khusus untuk pelesenan tapak perkhemahan yang bakal diperkenalkan oleh Selangor tidak akan membebankan kewangan pengusaha. – Bernama