Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Poni Divers
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Poni Divers hari ini mencipta sejarah dengan membuat persembahan tarian singa bawah air di laut terbuka pertama di dunia.
Acara diadakan pada hari kedua Tahun Baharu Cina bertempat di pusat operasi menyelam utama Poni Divers di Pantai Serasa.
Acara bermula dengan tarian singa tradisional bersama dua ekor singa dari Unity Charity Association di darat dan diteruskan dengan pasukan penyelam berpengalaman yang berpakaian kostum singa tradisional membuat persembahan di perairan Pulau Pilong-Pilongan, terletak 35 minit dari Serasa.
Seramai 14 orang penyelam, 10 penyelam snorkel dan seorang penyelam bebas menyaksikan kejayaan tersebut.
Bagi meraikan acara itu, Poni Divers telah mendapat pengiktirafan daripada Brunei Book of Records sebagai tarian singa bawah air di laut terbuka yang pertama sekaligus menerima sijil penghormatan.
Tarian singa ialah persembahan tradisional Cina yang melambangkan keberuntungan dan kekayaan, dan lazimnya dipersembahkan di darat semasa pesta dan perayaan.
Poni Divers sangat teruja untuk menambah sentuhan inovatif pada tradisi budaya itu dan membawanya ke dunia bawah air, mempamerkan keindahan dan kepel-bagaian hidupan laut.
Tahun Baharu Cina kali ini adalah Tahun Arnab, menyambut masa perubahan dan harapan.
“Kami sangat teruja kerana dapat membawa acara unik dan menarik ini kepada penyelam kami dan kepada orang ramai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Poni Divers, Mohd Tahsin Wong.
“Ini bukan sahaja peluang sekali dalam seumur hidup untuk penyelam kita melihat tarian singa di bawah air di laut terbuka, tetapi ia juga akan mempamerkan kepentingan pemuliharaan marin dan keperluan untuk melindungi lautan kita, meletakkan Brunei di peta sebagai perintis menyelam acara komuniti menyelam bawah air yang menarik,” tambahnya.