MACEDONIA – Kelihatan sebuah kapal sedang meluncur di seluruh permukaan air yang berkilauan di sebuah tasik tertua di Eropah dan tasik ini dikenali sebagai sebuah tasik yang mempunyai kepelbagaian ekosistem yang dinamik, syurga biodiversiti dan diklasifikasikan sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO. Namun baru-baru ini, tasik tersebut telah mengalami tekanan dan ancaman pembangunan yang semakin meningkat dan pihak UNESCO telah mengarahkan aktivis pemuliharaan untuk memastikan tasik itu terjaga dan terpelihara. Tasik yang dinamakan sebagai Tasik Ohrid itu terletak di antara sempadan pergunungan Macedonia dan juga Albania. Tasik ini dicatatkan sudah wujud sejak tiga juta tahun yang lalu dan merupakan rumah kepada lebih daripada 200 spesies flora dan fauna yang sudah banyak terdapat di seluruh dunia.
Namun beberapa rancangan daripada Macedonia telah mencemaskan pihak alam sekitar dan agensi kebudayaan bangsa-bangsa bersatu UNESCO dan menggesa pihak berkuasa di negara itu untuk membuat penilaian terlebih dahulu sebelum tasik itu mengalami kerosakan yang teruk. Cadangan Macedonia adalah untuk membina kompleks ski yang besar dan laluan kereta api untuk menuju Taman Negara Galicica yang terletak di tepi tasik tersebut. Tasik tersebut merupakan kawasan perlindungan bagi sesetengah spesies haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan.
Para aktivis tempatan merasa tertekan dan marah dengan cadangan yang dikemukakan oleh Macedonia itu malah mereka takut kemusnahan akan berlaku di tasik itu yang terkenal dengan kawasan tanah yang sangat lembap sebanyak 120 ekar dan berfungsi sebagai penapis semula jadi yang penting untuk tasik itu. Para penyelidik kawasan itu menunjukkan beberapa lakaran kepada pihak kerajaan tempatan di negara itu dan memberi amaran bahawa kerosakan di kawasan itu memang satu perkara yang tidak boleh dielakkan.
Namun pihak kerajaan negara itu bertegas untuk melindungi warisan Ohrid itu namun beberapa kempen yang diadakan oleh penduduk tempatan menuduh mereka memanipulasi dan melanggar undang-undang untuk membenarkan perkembangan di tasik itu diteruskan. “Tsunami projek-projek infrastruktur di tasik itu telah dirancang dan jika ia dilaksanakan bermaksud selamat tinggal kepada tapak warisan dunia UNESCO,” kata Aleksandra Bujaroska, peguam alam sekitar di Balkan kepada wartawan AFP.
Bujaroska adalah sebahagian daripada persatuan rakyat ‘Front 21/42’ yang menjalankan kempen untuk moratorium untuk semua perancangan ‘merosakkan’ itu. “Sebenarnya apa yang menjadi isu utama terhadap prosedur ini adalah pelanggaran yang berterusan dengan penyertaan orang ramai,” tambah Bujaroska yang berusia 30 tahun dan membesar di Ohrid dan berpangkalan di Skopje kepada wartawan AFP.


Kecantikan Byzantine
UNESCO telah memberikan status Warisan Dunia kepada lebih 1,000 tapak di dunia namun kurang daripada tiga dozen disenaraikan sebagai ‘Semula Jadi’ dan ‘Budaya’. Rantau Orhid adalah salah satu daripada senarai tersebut. Di negara Macedonia, Tasik Orhid adalah salah satu dari penempatan manusia yang tertua di Eropah dengan pelbagai ikon gaya Byzantine seperti lukisan dinding dan gereja-gereja serta keindahan semula jadi yang sangat mempesonakan di sekitar tasik itu dan telah menarik sekitar 200,000 pelancong pada tahun lepas.
“Ia sungguh mengagumkan, perkara yang paling indah adalah ia begitu dekat dengan alam semula jadi,” kata salah seorang pelajar dari Poland, Aleksandra Walerych kepada wartawan AFP. Aleksandra merasa terpegun melihat sebuah gereja abad ke-13, St John di Kaneo yang terletak menghadap dengan tasik itu dan dipercayai tempat paling sesuai untuk merakam potret indah dan mempesonakan di negara itu.
Tasik ini meliputi kawasan seluas 358 kilometer persegi, dua pertiga daripada yang terletak di Macedonia dan dilindungi di bawah status UNESCO malah kerja-kerja penjagaan tasik itu sedang dijalankan bersama-sama dengan aktivis daripada Albania. Namun dalam beberapa mesyuarat yang telah diadakan di Istanbul pada tahun lepas, jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO berkata bahawa kebimbangan terhadap projek mega itu telah mula dicadangkan oleh pihak Macedonia.
UNESCO juga telah memberi amaran bahawa Ohrid mungkin akan tersenarai sebagai ‘Warisan Dunia Dalam Bahaya’ dan jika ancaman ini disahkan, laluan alternatif akan dibangkitkan bagi menangani situasi itu. Tasik ini mungkin akan kehilangan statusnya sebagai tapak warisan jika tasik ini tidak diberikan perlindungan yang sewajarnya. Alexandra Fiebig, pegawai projek untuk Eropah dan Amerika Utara di Pusat Warisan Dunia UNESCO berkata bahawa hubungan rapat dengan Macedonia dan pihak UNESCO bagi proses pemantauan telah diketatkan disebabkan kerja projek Ohrid tidak lama lagi akan dijalankan.
Agenda politik
Satu cadangan kontroversi telah dibangkitkan dan dijangka melibatkan kedua-dua pelaburan swasta dan juga awam serta cadangan kontroversi itu mungkin akan jatuh ke tangan kementerian kerajaan pusat atau pihak perbandaran negara itu. Bank Eropah untuk pembinaan semula dan pembangunan serta pelabur berkata bahawa mereka sedang menilai kebolehpercayaan projek tersebut ketika ini.
Parti konservatif, VMRO-DPMNE yang berkuasa di peringkat kebangsaan sejak tahun 2006 telah dituduh oleh pengkritik autoritarian disebabkan oleh isu rasuah dan telah memenangi pilihan raya umum pada bulan Disember yang lalu. Datuk Bandar Orhid, Nikola Bakraceski dari VMRO-DPMNE menegaskan bahawa peraturan alam sekitar yang diikuti telah cukup untuk dibawa berbincang untuk kemakmuran bandar raya malah datuk bandar itu menuduh aktivis kerana mempunyai agenda politik dan kekurangan kepakaran.
“Niat umum untuk semua piawaian untuk memelihara nilai-nilai budaya dan semula jadi di rantau Orhid sangat dihormati dan disanjung tinggi,” tambah Nikola kepada wartawan AFP. Beberapa gerakan kempen tidak akan menjamin penentangan terhadap projek itu dan aktivis kumpulan lain berkempen untuk melindungi baki tanah lembap yang terakhir di tepi tasik itu. “Kami tidak mahu pembangunan yang drastik dan kami mahu melihat rancangan untuk menjaga nilai permata ini dan memastikan ia menarik untuk kunjungan orang ramai,” tambah Nadezda kepada wartawan. – AFP