Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tatacara pengambilan pekerja perlu diteliti

    Oleh Sim Y. H. & Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Bahiyah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Isu-isu rungutan orang ramai mengenai tatacara pengambilan pekerja yang kurang cekap dan kurang adil, sistem tapisan senarai calon berdasarkan kriteria perlu diteliti.

    Ini kerana banyak kelemahan yang dapat dilihat seperti dalam perkara-perkara temu duga, ujian bertulis dan lain-lain. Oleh itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu meneliti mengenai perkara tersebut secara bersepadu.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan perkara tersebut semasa lawatan tidak berjadual ke SPA dan JPA, hari ini.

    Baginda memulakan lawatan tidak berjadual ke SPA di Berakas dan di JPA di Jalan Kumbang Pasang. Semasa lawatan, Baginda berkenan berangkat melawat ke beberapa bahagian di pejabat dan jabatan berkenaan.

    Baginda Sultan bertitah bahawa SPA dan JPA merupakan dua badan yang bertanggungjawab untuk membekalkan tenaga kerja perkhidmatan awam yang berkelayakan mengikut keperluan negara, termasuk juga berperanan untuk menyembahkan perkara-perkara yang berhubung kait dengan lantikan, pertukaran, kenaikan pangkat, pemecatan dan tindakan tatatertib bagi pegawai-pegawai kerajaan berdasarkan perintah-perintah am, peraturan-peraturan dan surat-surat keliling kerajaan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengadakan lawatan tidak berjadual ke JPA, kelmarin.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah.

    Baginda Sultan berkenan mengadakan tinjauan ke salah sebuah jabatan di JPA.
    Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama warga SPA.
    Baginda Sultan berkenan berinteraksi bersama salah seorang kakitangan di JPA.

    “Satu perkara yang sama-sama terbeban kepada SPA dan JPA ialah mengenai rungutan orang ramai tentang cara-cara pengambilan pekerja yang dikatakan kurang cekap, bahkan kurang adil.

    “Mengapa dikatakan kurang cekap ialah kerana berlakunya kelambatan dalam proses permohonan-permohonan jawatan. Sementara dikatakan kurang adil pula, ialah berhubung dengan perkara-perkara temu duga dan ujian bertulis, dilihat sebagai banyak kelemahan,” titah Baginda.

    Baginda Sultan menekankan antara contoh kelemahan itu boleh dilihat apabila ratusan permohonan dipanggil untuk ditemu duga dan diuji yang terdiri daripada kalangan orang awam, para graduan yang baru lulus dan juga termasuk pegawai atau kakitangan yang sedang berkhidmat dengan kerajaan.

    Baginda bertitah, “Dari sini muncul spekulasi bahawa jawatan yang sedang disasar untuk diisi itu sudah ada calon terpilih. Misalnya jawatan itu adalah untuk Jabatan Tanah, calon-calon yang bersaing terdiri daripada orang awam, para graduan yang baru lulus termasuk juga calon yang sedang berkhidmat dengan kerajaan di Jabatan Tanah.

    “Semasa ujian bertulis diadakan, antara soalan ialah mengenai undang-undang yang berkaitan dengan tanah. Maka dari sini boleh dibayangkan bagi pemohon yang baharu sahaja tamat pengajian, apakah yang mereka itu boleh tahu mengenai undang-undang tanah.

    “Adakah mereka belajar di universiti mengenai tanah dan secara khusus mengenai undang-undang tanah di Brunei. Adakah mereka belajar semua ini yang akan membolehkan mereka dapat menjawab soalan,” soal Baginda.

    Secara logiknya, tegas Baginda, tentu sahaja calon yang sedang berkhidmat di Jabatan Tanah yang akan menjadi calon pilihan untuk lulus, sementara yang lain-lain hanya akan menggigit jari walaupun kiranya mereka mempunyai kelulusan-kelulusan akademik yang lebih tinggi.

    “Inilah senario yang tidak boleh diabaikan untuk diteliti secara bersepadu oleh SPA dan JPA.

    “Pada hemat Beta, tatacara dalam perkara soalan tidaklah patut statik atau tidak pernah berubah tetapi elok dari semasa ke semasa, diselaraskan atau disesuaikan dengan jenis-jenis jawatan yang dilamar.

    “Misalnya, kalau jawatan itu, jawatan guru, maka mestilah soalannya mengenai perguruan. Kalau jawatan imam, mestilah soalannya mengenai dengan tugas-tugas imam. Kalau jawatan pendakwah, mestilah mengenai dakwah dan tugas-tugas da’ie dan seumpamanya,” titah Baginda.

    Jelas Baginda, jika ini ada maka barulah soalan-soalan itu dapat dianggap relevan dan adil, sebaliknya membiarkan tatacara soalan tidak diselaraskan adalah satu penganiayaan.

    Baginda Sultan seterusnya bertitah bahawa selain itu, sistem tapisan senarai calon yang berdasarkan kriteria juga perlu diteliti kerana sudah pun berlaku jika kelulusan seseorang itu dianggap tidak menepati kriteria maka permohonannya akan terus sahaja ditolak sebagai tidak diakui oleh sistem.

    “Misalnya, jawatan yang diiklankan ialah untuk Kementerian Kewangan, terdapat antara calon pemohon ialah orang yang berkelulusan agama lalu kelulusan ini, dinilai sebagai tidak menepati kriteria kerana menganggap orang agama hanya layak untuk jadi guru atau jadi imam sahaja, maka permohonan ini pun ditolak begitu sahaja.

    “Padahal setahu Beta dalam ilmu Islam ada satu bab namanya bab muamalat yang meliputi semua bidang mengenai ekonomi,” titah Baginda.

    Baginda Sultan bertitah lanjut terdapat bukti kuat bahawa penyandang-penyandang kelulusan agama juga dilihat mampu untuk melaksanakan peranan berkaitan dengan kewangan atau ekonomi, seperti berlaku pada masa ini.

    Baginda bertitah, “Agensi-agensi kewangan yang terdiri daripada bank, takaful, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah melantik beberapa pegawai yang berkelulusan agama sebagai pengerusi-pengerusi badan-badan penasihat syariah dan ahli kepada badan-badan tersebut.

    “Malah mereka juga kerap diminta oleh bank dan Perbadanan TAIB untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat atau persidangan-persidangan sama ada di dalam mahupun di luar negara mengenai hal ehwal perbankan dan seumpamanya.

    “Berdasarkan fakta ini, tidaklah menolak mentah-mentah calon yang berkelulusan agama sebagai tidak menepati kriteria, masih boleh dipertikaikan.

    “Maka oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab SPA dan JPA untuk melihat perkara ini dengan kaca mata ilmu bukan dengan sukat-sukat lapuk mendasarkan anggapan dan sangkaan semata-mata.

    “Beta ingin mengemukakan beberapa pertanyaan, sambil mengambil maklum bahawa masih banyak lagi jawatan-jawatan kosong di kementerian-kementerian, maka di sini Beta ingin mengetahui berapa banyakkah jumlah jawatan kosong di kementerian-kementerian setakat ini dan berapa peratus yang telah diisikan?,” soal Baginda.

    “Dua, sejauh manakah peranan dan inisiatif SPA dalam memberikan nasihat kepada JPA untuk menangani masalah pencari kerja yang semakin meningkat terutama dalam kalangan graduan?”

    Baginda Sultan juga menekankan bahawa pengiklanan bagi pengambilan pegawai-pegawai dan kakitangan baharu biasanya hanya akan dibuat setelah pemegang asal jawatan menamatkan perkhidmatan.

    “Tidakkah perlu untuk difikirkan oleh SPA dan JPA bagi mencuba kaedah yang lebih baik, proses penggantian ini, seperti misalnya, dibuat lebih awal sebelum perkhidmatan berakhir untuk menjimatkan masa dan jawatan pula tidak akan lama tergantung kosong. Beta ingin mendapat penjelasan mengenainya.

    “Terdapat laporan mengenai kenaikan pangkat jawatan pegawai kanan yang tidak mengikut prosedur kenaikan pangkat yang sepatutnya, ada laporan mengenai pegawai yang masih dalam siasatan pihak tertentu tetapi telah dinaikkan pangkat. Mengapa ini boleh berlaku?”
    Baginda Sultan turut bertitah mengenai proses pengambilan penjawat-penjawat awam yang dikatakan terlalu lama.

    “Mengapa sistem ujian komputer, PSC CAM yang digunakan pada masa ini, tidak dapat mengatasi masalah kelambatan tersebut?,” soal Baginda.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda