Monday, December 2, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan di dapur rumah pangsa

    “Hidup ini memang penuh cabaran, tapi tiada apa yang lebih mencabar daripada memasak di dapur kecil rumah pangsa,” bisik hati Shafik sambil menatap dapur kecilnya yang berukuran lebih kurang saiz stor barang jiran sebelah.

    Hari itu adalah hari istimewa kerana dia telah berjanji kepada teman serumahnya, Jamal, untuk memasak kari ayam warisan keluarga.

    “Shafik, kau betul ke nak masak kari? Kau tahu dapur kita ni macam sardin dalam tin. Silap-silap semua jiran boleh bau kari kau,” tegur Jamal sambil mencuci pinggan pagi tadi.

    “Bro, kau underestimate skill aku! Ini bukan sekadar masak, ini seni!” balas Shafik penuh yakin.

    Gambar Freepik

    Namun, dalam hati kecilnya, ada sedikit rasa gelisah. Masak bukanlah kebolehannya tapi maruah perlu dipertahankan.

    Jam menunjukkan pukul 6 petang dan Shafik pun memulakan misinya. Dengan apron bergambar sambal ayam yang merupakan hadiah cabutan bertuah syarikat lama, dia mengatur semua bahan di atas meja dapur yang hanya muat untuk tiga pinggan nasi.

    “Okay, bawang besar, bawang putih, halia… check. Rempah kari… check. Santan kotak… hmm, yang ni expired bulan lepas, tapi okay kot, masih nampak putih,” Shafik berkata kepada dirinya sendiri, cuba memujuk hati.

    Dia mula mengupas bawang. Baru beberapa minit, matanya pedih.

    “Aduh, bawang ni macam gas pemedih mata lah! Ini baru bawang, belum cili lagi,” rungutnya.

    Tiba-tiba Jamal masuk ke dapur.

    “Bro, kau potong bawang pakai pisau ke parang? Jangan sampai jiran ingat kau tengah buat kajian kimia kat sini,” usik Jamal sambil tersengih.

    “Ha-ha, kelakar sangat,” Shafik menjawab dengan nada sinis.

    Ketika Shafik sedang menumis bawang, tiba-tiba bunyi cling-clang kuat dari tingkap belakang. Dia dan Jamal berpaling serentak. Seekor kucing gemuk jiran sebelah tersangkut di tingkap, cuba menerobos masuk.

    “Oi, Piut! Keluar! Ini dapur manusia, bukan bufet kucing!” jerit Shafik sambil menghalau kucing itu dengan senduk kayu.

    Piut melarikan diri, tetapi dalam proses itu, ekornya tersentuh periuk kari yang sedang mendidih. Kucing melompat panik, menyebabkan periuk hampir terbalik.

    “Bro! Kau punya kari nak jadi lava gunung berapi dah tu!” Jamal menjerit sambil melompat cuba menyelamatkan periuk.

    Ketika keadaan hampir reda, jiran sebelah mengetuk pintu.

    “Eh, Shafik, kau masak apa ni? Bau sampai ke bilik aku,” kata Kak Ros sambil tersengih.

    “Masak kari, Kak Ros. Nak rasa ke?” Shafik cuba menutup rasa malunya yang menebal.

    “Kalau kau masak, aku rasa lebih baik aku buat tempahan makanan di GoMamam sekarang,” Kak Ros bergurau sebelum berlalu pergi.

    Setengah jam kemudian, kari Shafik hampir siap. Namun, tiba-tiba Shafik sedar satu perkara yang amat penting.

    “Jamal, mana ayamnya?!” Shafik menjerit panik.

    Jamal memandang Shafik dengan wajah kosong.

    “Eh, kau tak beli ayam ke? Jangan cakap kau masak kari kosong ni?”

    Shafik tergamam. Dia cuba mengingati setiap langkahnya di pasar tadi.

    “Aduh, aku lupa beli ayam! Aku sibuk sangat pilih santan kotak tadi!”

    Jamal menggeleng kepala, menahan tawa.

    “Okay, genius. Sekarang kari kau tak ada ayam dan kita cuma ada satu jam sebelum waktu makan malam. Kau nak masak apa ni?”

    Shafik, dalam keputusasaannya, cuba menjadi kreatif. Dia mencapai sosej dari peti ais.

    “Kalau tak ada ayam, kita buat kari sosej!” katanya dengan penuh semangat.

    “Shafik, kau pasti? Aku tak pernah dengar orang buat kari sosej,” Jamal memandang dengan skeptikal.

    “Bro, inilah inovasi! Jangan takut cuba benda baru!”

    Namun, ketika kari sosej hampir siap, satu lagi insiden berlaku. Lampu dapur tiba-tiba padam.

    “Eh, blackout pula?!” Shafik menjerit.

    Bunyi pintu diketuk lagi. Kali ini, jiran di tingkat bawah pula yang datang.

    “Encik, saya rasa gas dapur encik bocor. Bau sampai ke rumah saya!” jerit lelaki itu.

    Shafik dan Jamal saling memandang. Mereka panik dan segera memeriksa dapur gas.

    Rupanya gas habis dan aroma kuat rempah telah menyebabkan salah faham.

    Dengan keadaan yang kelam-kabut, mereka memindahkan periuk kari ke dapur elektrik kecil di ruang tamu.

    “Ini dah macam rancangan masakan realiti,” Jamal berkata sambil tertawa kecil.

    Akhirnya, kari sosej Shafik siap juga. Mereka menghidangkannya dengan penuh bangga di atas meja. Namun, sebelum sempat menjamah, pintu diketuk lagi.

    Kali ini, seluruh jiran-jiran datang dengan muka penuh tanda tanya.

    “Shafik, apa yang kau masak ni? Bau rempah dia macam pesta kari!” seorang jiran bertanya.

    Shafik tersenyum kelat.

    “Kari… sosej?” jawabnya perlahan.

    Jiran-jiran memandang sesama sendiri sebelum ketawa besar. Shafik hanya mampu tersengih sambil berkata dalam hati, “Lain kali, aku order GoMamam saja.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Sesal tak berguna

    Qada dan qadar

    Disyorkan Untuk Awda