Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Ribut tropika Gaemi telah dinaik taraf ke taufan Gaemi dan dikesan di koordinat 17.4°N 125.2°E, di kawasan timur laut Laut Filipina, sekitar 1,600 kilometer dari Negara Brunei Darussalam pada pukul 8 pagi waktu tempatan, hari ini.
Taufan Gaemi diramalkan bergerak ke arah barat laut dan menjauhi Negara Brunei Darussalam.
Menurut maklumat cuaca yang dikeluarkan Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, taufan berkenaan secara tidak langsung akan mempengaruhi keadaan cuaca negara de-ngan keadaan sedikit berangin dijangka berlaku bagi beberapa hari akan datang dengan hujan atau hujan berpetir berserta angin kencang berpotensi berlaku terutama di kawasan laut dan pesisiran.
Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 60 km/j semasa atau dekat hujan lebat. Manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana dengan ketinggian ombak di antara 1 hingga 1.5 meter.
Sementara itu, BDMD turut menyatakan Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di dalam monsun barat daya, yang pada lazimnya akan berterusan sehingga bulan September.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/07/P2-Lead-Taufan_23072024.jpg)
Semasa monsun barat daya, keadaan atmosfera di negara pada kebiasaannya adalah agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan. Keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah barat daya semasa tempoh berkenaan.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang.
Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
BDMD akan sentiasa terus memantau keadaan cuaca serta mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Jabatan berkenaan menyatakan maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX, menghubungi peramal cuaca yang bertugas melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau Facebook @bruneiweather, Instagram @brunei.weather dan saluran Telegram, BruneiWeather.