Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Dalam usaha untuk memakmurkan masjid, tazkirah mingguan telah diadakan di beberapa buah masjid di Daerah Belait, hari ini, iaitu Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid RPN Kampung Pandan; Masjid Pekan Seria dan Masjid Kampung Labi.
Di Masjid Muhammad Jamalul Alam, tazkirah bertajuk ‘Mengingati Mati’ telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Akup bin Haji Lamat.
Dalam tazkirah itu, beliau antara lain menekankan bahawa mengingati kematian akan mendorong manusia menetapkan matlamat yang jelas hidupnya di dunia dan akhirat iaitu membuat persediaan dengan memperbanyakkan amal ibadah dan menjauhi segala perbuatan yang mendatangkan dosa.
Di Masjid RPN Kampung Pandan, tazkirah bertajuk ‘Syafaat Al-Quran’ telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Abdul Qayyuum bin Haji Aminnuddin.
Beliau antara lain mengingatkan pesanan Nabi Muhammad SAW kepada umatnya dalam sebuah hadis sahih bahawa salah satu golongan yang akan mendapat syafaat pertolongan Al-Quran pada hari kiamat kelak adalah para pembacanya.
Maka orang yang menjadikan bacaan Al-Quran sebagai rutin hariannya itu bukan saja memperolehi pahala bacaan Al-Quran, malah orang itu juga akan mendapat syafaat Al-Quran dengan izin Allah SWT, ujarnya.
Sementara itu, di Masjid Pekan Seria pula, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Aminordin bin Haji Yussof menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Ikhlas dalam Ibadah dan Pekerjaan’ yang menekankan bahawa ibadah yang dilakukan itu hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah. Dengan keikhlasan itulah akan mendatangkan keberkatan kepada hasil daripada pekerjaan yang dilakukan.
Di Masjid Kampung Labi, tazkirah mengenai ‘Dua Kalimat yang Ringan Diucap Lidah, Berat Dalam Timbangan Pahala’ telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Mohd Nazelly bin Noorashid.
