Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tebalik Plastik tawan hati juri BSM Disrupt

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Tebalik Plastik, sebuah syarikat permulaan kitar semula yang diilhamkan oleh Precious Plastic untuk menangani masalah plastik di Brunei Darussalam, telah memenangi hati juri BSM Disrupt dan dipilih sebagai pemenang acara hackathon.

    Dianjurkan oleh Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), BSM Disrupt ialah program hackathon yang berfungsi sebagai platform untuk BSM bekerjasama dengan rakan perniagaan baharu.

    Ditetapkan dengan objektif mengumpulkan idea tentang cara menyelesaikan masalah atau menambah baik perkhidmatan semasa dalam lingkungan pengaruh Syarikat BSM, platform itu menyasarkan pemula dan perniagaan yang mempunyai sekurang-kurangnya produk berdaya maju minimum dan rekod prestasi operasi yang terbukti.

    Tiga pasukan teratas telah diumumkan pada majlis penyampaian hadiah dan majlis penutupan BSM Disrupt yang diadakan di Bangunan PGGMB, di ibu negara, hari ini dan dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga), Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw selaku tetamu kehormat.

    Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil dalam ucapan alu-aluannya menekankan mengenai komitmen BSM untuk membina perkongsian dan bekerjasama dengan perniagaan bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dengan cara yang inovatif.

    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan BSM Disrupt yang dianjurkan oleh Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM). Pertandingan tersebut diadakan untuk mengumpul idea tentang cara menyelesaikan masalah atau menambah perkhidmatan semasa dalam lingkungan pengaruh Syarikat BSM.- Gambar oleh Syahmi Hassan
    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo, Awang Muhammad Norshafiee dan para pemenang bergambar ramai pada majlis tersebut.
    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo, Awang Muhammad Norshafiee dan antara tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.
    Awang Muhammad Norshafiee menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa majlis berkenaan.

    “Apabila program BSM Disrupt diperkenalkan dua tahun lalu, kami bercita-cita untuk mewujudkan platform yang bukan sahaja memberi manfaat kepada BSM, tetapi juga menyokong perniagaan inovatif yang dikendalikan oleh usahawan teknologi yang berbakat,” jelasnya.

    Pada masa ini, salah seorang daripada pemenang BSM Disrupt sebelum ini kini menjadi salah seorang daripada rakan niaga mereka dan dua lagi pemenang akan bermula tidak lama lagi kerana mereka bekerja secara aktif dengan para pemenang dalam memperhalus tawaran mereka.

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa program itu sentiasa mengenai membina perkongsian baharu dengan perniagaan baharu untuk menyelesaikan cabaran dan peluang harian organisasi (BSM) mereka bagi meningkatkan pengalaman pelanggan mereka.

    Pada tahun ini, BSM telah memperhalus dan mengembangkan cabarannya, memfokuskan kepada cabaran dan peluang seperti pembekalan dan pengedaran, logistik, jaminan produk dan data dengan beberapa orang telah mengambil cabaran tersebut dan membangunkan idea yang sangat menarik dan penyelesaian yang inovatif.

    Awang Muhammad Norshafiee seterusnya mengongsikan bahawa ia juga menggalakkan untuk melihat syarikat-syarikat mencipta teknologi baharu seperti blockchain, NFC dan penyelesaian aplikasi mudah alih bagi meningkatkan perkhidmatan BSM dan menangani isu seperti jaminan produk pelincir tulen kepada pelanggan BSM.

    Tebalik Plastik, Recap Sdn Bhd dan Tag Technologies adalah tiga pasukan teratas yang mengemukakan idea perniagaan yang paling sesuai, menunjukkan aplikasi kepada inovasi, model perniagaan yang terbukti, dan prototaip yang berfungsi, dengan Tebalik Plastik dipilih sebagai pemenang tempat pertama dan memenangi hadiah wang $5,000.

    Tempat kedua menjadi milik Recap yang memenangi hadiah wang $3,000 dan Tag Technologies pula memenangi hadiah wang $1,000 sebagai pemenang tempat ketiga. Recap ditubuhkan pada tahun 2017 dengan visi untuk mengalihkan ekosistem digital ke arah impak dan pertumbuhan yang bermakna melalui pembangunan dan pengurusan bakat digital.

    Tag Technologies pula adalah sebuah syarikat yang dikendalikan oleh studentprenuers dari Politeknik Brunei (PB) yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan dengan penggunaan teknologi Near Field Communication (NFC), dari membuat kad e business, e menus, automated wifi connectivity dan attendance taker dengan hanya mengetik telefon pintar.

    Sebelum pengumuman dan penyampaian hadiah, tiga pasukan teratas tersebut telah menaiki pentas untuk memperkenalkan produk mereka kepada penonton yang hadir.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda