Tuesday, April 29, 2025
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tekan peraturan keselamatan pengangkutan air

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Dalam usaha memberigakan mengenai kepentingan dalam meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan air, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (PBMP) telah mengadakan sesi muzakarah bersama para pemilik, pengendali dan pemandu perahu-perahu tambang, kelmarin.

    Sesi muzakarah tersebut yang diadakan di Dewan Silaturahim, Pusat Belia, di sini, turut dibukakan kepada orang ramai yang berminat untuk mengetahui mengenai proses dan prosedur pendaftaran perahu.

    Pertemuan tersebut diadakan adalah untuk memberi penekanan mengenai peraturan PBMP dalam pengawalseliaan pendaftaran mana-mana perahu yang beroperasi di perairan di negara ini terutama sekali di Sungai Brunei.

    Antara perkara yang ditekankan ialah mengenai peraturan penyediaan alat-alat keselamatan di dalam perahu terutama sekali keperluan pemakaian jaket-jaket keselamatan bagi para pengendali dan penumpang semasa menaiki perahu.

    Beberapa alat keselamatan seperti boya, lampu dan pengayuh turut dinasihatkan untuk disediakan di dalam perahu sebagai salah satu inisiatif bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan pengangkutan air.

    Selain itu, keperluan kepada para pemilik, pengendali dan pemandu perahu-perahu tambang untuk mendapatkan Sijil Kecekapan Kelas 9 (Terhad) turut diberi perhatian semasa program berkenaan.

    Pendekatan berterusan yang sedang giat dilaksanakan oleh PBMP ini diharap akan dapat menanamkan kesedaran kepada para pengendali dan penumpang perahu-perahu tambang dalam sama-sama menjaga dan mengutamakan keselamatan semasa berada di atas perahu sekali gus dapat membantu mengurangkan risiko kejadian yang tidak diingini. Sesi muzakarah berkenaan akan terus dipergiatkan dan juga akan dilaratkan di Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong.

    Antara yang menghadiri taklimat yang diadakan di Pusat Belia, baru-baru ini.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda