BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Setelah berjaya mendapatkan ISO 9001:2015 pada 2017, Telekom Brunei Berhad (TelBru), awal minggu ini, telah disyorkan bagi persijilan seterusnya oleh British Standards Institution (BSI), badan pensijilan yang berpangkalan di United Kingdom, apabila syarikat berkenaan terus menekankan kepentingan kualiti operasi hariannya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan TelBru, pencapaian berulang ini, terutamanya bagi Sistem Pengurusan Kualiti (QMS), adalah hasil daripada kerja keras dan usaha konsisten semua kakitangan di seluruh Syarikat TelBru.
Kenyataan menjelaskan, untuk mendapatkan pentauliahan ISO 9001:2015, syarikat-syarikat hendaklah menunjukkan keakuran kepada set keperluan QMS.
Dengan pengesahan semula kepatuhan syarikat kepada penyampaian perkhidmatan bertaraf dunia, TelBru terus menjadi antara kumpulan syarikat-syarikat elit dunia yang telah mencapai dan mengekalkan standard-standard sedemikian. Lebih jelasnya lagi, daripada berjuta-juta syarikat di seluruh dunia, hanya 1.1 juta syarikat dan organisasi diperakui standard ISO 9001 dan TelBru adalah salah sebuah syarikat berkenaan.
Standard berkenaan adalah berdasarkan sejumlah prinsip pengurusan kualiti termasuk penekanan terhadap kepuasan pelanggan, pemikiran berdasarkan risiko, penglibatan dan komitmen kepimpinan atas, pendekatan proses, pembuatan keputusan berdasarkan bukti dan penambahbaikan berterusan.
Mengulas kejayaan in, Ketua Pegawai Eksekutif Interim TelBru, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman dipetik sebagai berkata, “Kami sangat berbangga dengan orang kami di TelBru atas keghairahan mereka dalam meneruskan perjalanan bagi penambahbaikan, membuahkan hasil menerusi pengiktirafan antarabangsa ini.
“Dalam tahun ketiga kami dengan pensijilan ini, kami memahami sepenuhnya ketekunan yang diperlukan untuk mengekalkan standard kami dan ia bukannya mudah.
“Walaupun banyak syarikat-syarikat Brunei yang telah mencapainya bagi aspek, bahagian tertentu operasi mereka, yang juga merupakan satu pencapaian besar, TelBru adalah satu-satunya syarikat telekom di negara ini yang memegang sijil ISO ini di seluruh platform perniagaan dan jabatannya.”
Ini, tekan beliau, merupakan bukti ketekunan pekerja dan budaya di TelBru.