BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Momentum Negara Pintar Telekom Brunei Berhad (TelBru) semakin bertambah berikutan penambahan infrastruktur yang akan membolehkan pemasangan ‘Internet of Things’ (IoT) untuk menangani beberapa cabaran pembangunan bandar yang boleh ditangani menerusi kelengkapan moden terutamanya teknologi LoRA.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan TelBru di sini, dengan beberapa stesen pangkal terletak di kawasan-kawasan strategik yang meliputi majoriti Daerah Brunei dan Muara hingga ke laut, TelBru secara efektif telah membuat persediaan asas bagi penyelesaian berkaitan dengan IoT.
TelBru juga melihat potensi awal penyelesaian dalam menangani isu-isu sebenar yang termasuk pencurian penutup lurang, pengawasan pintar penggunaan elektrik dan air, keupayaan pengawasan banjir, mengukur suhu dan kelembapan serta penggunaan bagi tujuan pertanian.
Tatkala TelBru bergerak ke hadapan dengan pencapaian-pencapaian teknologi ini yang membolehkan penduduk menikmati ‘gaya hidup pintar’ sambil menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan tambah nilai dalam bidang ICT, syarikat berkenaan terus berusaha mencari cara untuk memperbaiki keupayaannya dalam menyediakan teknologi moden bagi menangani cabaran-cabaran masa kini dan baru dalam pelbagai bidang tanpa terhad kepada kesihatan, ekonomi dan pendidikan sahaja.
Tidak mahu membiarkan sempadan menghalang pembangunan ICT TelBru bagi Brunei, Ketua Pegawai Pemasaran, Lim Ming Soon dan kakitangan TelBru yang lain baru-baru ini telah menghadiri Persidangan Bandar Pintar Telekom Dunia di Taipei untuk meneroka pelbagai kemungkinan dan penggunaan IoT yang relevan dengan pembangunan Brunei terutamanya dengan pemasangan berterusan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi TelBru ke seluruh negara.
Menurut kenyataan TelBru, pada persidangan tersebut yang diadakan di Dewan Pameran Nangang Pusat Perdagangan Dunia Taipei itu, Lim Ming Soon selaku penceramah jemputan ketika segmen ‘TelCo’s Strategy and Planning in IoT Era’ atas jemputan daripada Persatuan Komputer Taipei (TCA) turut berkongsi idea yang memfokuskan ke atas ‘Merealisasikan Wawasan Brunei menerusi Negara Pintar.’
TelBru adalah salah satu daripada 19 buah syarikat antarabangsa lain yang dijemput untuk bercakap pada perhimpunan itu.
Selaras dengan visi TelBru yang bermatlamat untuk memperkenalkan teknologi IoT terkini di Brunei, ekspo berkenaan juga berfungsi sebagai platform bukan sahaja untuk menunjukkan keupayaan-keupayaan Brunei tetapi juga memudahkan tarikan dalam pelaburan langsung asing ICT ke Brunei daripada pemaju-pemaju dan pengeluar IoT yang ikut serta, kata kenyataan itu lagi.
Diadakan serentak dengan persidangan itu, Sidang Kemuncak dan Ekspo Bandar Pintar 2017, yang dianggap acara IoT terbesar di Taiwan, juga mengetengahkan 100 vendor yang mempamerkan penggunaan-penggunaan Negara Pintar bagi beberapa kategori Pintar daripada Bangunan Pintar, Smart Retail, tenaga hijau, pengangkutan pintar dan malah teknologi tidur.