Saling berkongsi gambar mesra menerusi Instagram, malah turut memuat naik pelbagai rakaman video mencetuskan andaian bekas penyampai radio, Jaa Suzuran dan penyampai Hitz FM, Melissa Th’ng sedang menjalin cinta.
Andaian itu diperkuatkan lagi apabila masing-masing dalam keterangan gambar menurunkan catatan yang seolah-olah menggambarkan mereka sedang dilamun cinta.
Jaa atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ahmad, bagaimanapun menolak spekulasi yang hangat diperkatakan itu, sebaliknya menyifatkan kemesraan mereka hanya sebagai kawan kerana pernah bekerja sebumbung.
“Memang kami rapat, tetapi untuk dikatakan bercinta, saya tidak rasa Melissa terpaut hati dengan saya. Kami pernah bekerja sebumbung dan sejak itu, kami serasi,” katanya.
Keakraban mereka turut diakui Melissa yang juga peserta program realiti, Asia’s Next Top Model musim pertama.
“Kami berkawan baik kerana sudah lama kenal. Tidak sangka pula, kami mudah serasi, meskipun bertugas di stesen radio berbeza. Saya hanya anggap Jaa sebagai kawan baik. Tetapi, untuk suatu hari nanti, saya tidak dapat meramalkan apa yang bakal terjadi, terutama dalam hal berkaitan jodoh. Kemesraan kami bukan dibuat-buat, malah saya tidak menolak sekiranya diberi peluang bergandingan dengan Jaa dalam mana-mana produksi,” katanya.
Sementara itu, Jaa yang kini menumpukan perhatian kepada bidang pengacaraan dan lakonan bakal muncul dengan filem pertama, Autumn In Wales, bergandingan dengan Eyka Farhana.
“Saya juga baru selesai menjalani penggambaran sebuah program realiti. Insya-Allah, bulan depan saya akan terbang ke Eropah selama dua bulan untuk menjalani penggambaran program 31 episod. Saya juga sedang menyusun pelbagai perancangan untuk memantapkan kandungan saluran digital sendiri,” katanya yang bernaung di bawah pengurusan MindOrder Sdn Bhd. – Agensi
