Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tempoh kutipan tabung kemanusiaan dilanjutkan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 ingin memaklumkan bahawa tempoh kutipan tabung berkenaan telah dilanjutkan selama enam bulan iaitu sehingga 18 April 2025.

    Pelanjutan tersebut adalah pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, bagi membolehkan orang ramai untuk terus menyalurkan bantuan bagi meringankan kesengsaraan dan beban penderitaan penduduk Palestin yang terjejas di Gaza.

    Pelanjutan ini termasuklah melalui platform kutipan yang tersedia di bawah tabung ini iaitu kutipan melalui SMS Brunei Prihatin yang dikendalikan oleh Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Progresif Sdn Bhd dan imagine Sdn Bhd.

    Selain itu ia juga termasuk penyediaan tabung-tabung derma di masjid-masjid, surau-surau dan balai- balai ibadat di seluruh negara, bangunan-bangunan awam, gedung-gedung perniagaan serta bank-bank dengan kerjasama persatuan bank-bank; dan penganjuran aktiviti-aktiviti amal bagi tujuan kutipan derma tersebut.

    Setakat 17 Oktober, kutipan keseluruhan dana tabung berkenaan adalah sebanyak $4,774,876.79 dan sebahagian daripada kutipan dana berjumlah $1,399,545 telah digunakan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Palestin melalui air-drop dalam bentuk paket makanan yang siap sedia untuk dimakan yang telah dilaksanakan pada 13 hingga 15 Mac. Oleh itu, baki tabung setakat 17 Oktober adalah berjumlah $3,375,331.79.

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda