BEIJING, 28 JUN – China hari ini mengurangkan tempoh kuarantin mandatori bagi pelancong luar, kelonggaran terbesar bagi sekatan kemasukan selepas berkeras dengan dasar sifar COVID sepanjang pandemik.
Garis panduan baharu mengurangkan tempoh kuarantin mandatori bagi pengunjung luar kepada tujuh hari termasuk tiga hari pemantauan di rumah – perubahan drastik daripada menjalani kuarantin kira-kira 21 hari dan pemantauan di rumah.
China menutup sempadan antara-bangsanya pada Mac 2020 dan jumlah penerbangan antarabangsa masih dikawal ketat dalam usaha untuk mengurangkan kes jangkitan ‘import’ ketika pandemik menular di seluruh dunia.
Sejak itu, pengunjung yang tiba dari luar negara terpaksa menjalani pemantauan ketat selama berminggu-minggu dan menjalani kuarantin di hotel atau di pusat-pusat yang dikhaskan.
Di bawah garis panduan pencegahan dan pengawalan COVID terbaharu yang diumumkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dan Majlis Negeri, pengunjung luar yang memasuki China kini diwajibkan untuk menjalani kuarantin tujuh hari.
Sejak April, jumlah bandar-bandar ‘rintis’ yang semakin meningkat sudah mengurangkan kuarantin mandatori bagi pengunjung luar kepada 10 hari, dengan Beijing turut mengurangkan tempoh kuarantin bulan lalu.
Walau bagaimanapun, penerbangan antarabangsa sering dibatalkan, dengan Beijing melaksanakan sistem ‘pemutus litar’ di mana laluan akan ditutup sementara sekiranya jumlah penumpang positif yang mencukupi ditemui dalam penerbangan.
China cukup tegas dengan pendiriannya mengenai dasar sifar COVID berbanding negara-negara lain, yang sebahagian besarnya telah membatalkan sekatan meskipun dengan penularan varian Omicron yang mudah berjangkit namun tidak mengancam nyawa.
Awal bulan ini, China beransur-ansur melonggarkan sekatan visa bagi membenarkan pengunjung luar untuk melawat ahli keluarga dan penduduk tetap di China. – AFP
