Saturday, February 1, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera Israel bunuh belia Palestin

    RAMALLAH, TEBING BARAT, 22 DIS – Pegawai perubatan Palestin berkata tentera Israel telah menembak mati seorang belia berusia 23 tahun dan mencederakan lima yang lain awal hari ini semasa pertempuran di Tebing Barat.

    Ahmed Daraghmeh maut apabila militan Palestin berbalas tembakan dengan tentera Israel yang memasuki bandar Nablus untuk mengiringi jemaah Yahudi ke sebuah tapak yang dikenali sebagai Makam Yakub di bandar Palestin.

    Bunyi tembakan dapat kedengaran dalam video yang dirakam oleh penduduk Palestin dari tingkap rumah mereka.

    Daraghmeh berasal dari bandar Tubas dan seorang pemain bola sepak untuk pasukan tempatan bandar. Masih tidak jelas sama ada dia mengambil bahagian dalam pertempuran itu.

    Tentera Israel berkata tentera mengiringi penduduk Israel ke tapak suci itu dan penduduk Palestin ‘melontar bom pada mereka,’ yang bertindak balas dengan tembakan. Ia berkata tentera mengesahkan menembak seorang penduduk Palestin.

    Kira-kira 150 warga Palestin dan 31 warga Israel telah terbunuh dalam pertempuran Israel-Palestin di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis pada tahun ini, menurut angka rasmi, menjadikan 2022 tahun paling teruk sejak 2006.

    Israel berkata kebanyakan penduduk Palestin yang terbunuh adalah militan, tetapi belia yang melontar batu dan beberapa orang yang tidak terbabit dalam keganasan juga telah terbunuh. – AP

    Penduduk Palestin mengusung jenazah Ahmed Daraghmeh semasa pengebumiannya di bandar Tebing Barat, Nablus, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda