Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terap budaya lebih inovatif dalam perniagaan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Menurut Banci Tahunan Perusahaan (ACE) 2021, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah membentuk 97.2 peratus daripada perusahaan aktif di Negara Brunei Darussalam, menjadikan sektor ini sebagai bahagian penting dalam landskap ekonomi negara.

    Dengan menyediakan peluang pekerjaan, sektor ini juga memainkan peranan penting dalam membentuk pembangunan ekonomi negara selain membekalkan barangan dan perkhidmatan, sekali gus menggalakkan persaingan dan kestabilan dalam pasaran. Hal ini juga memacu inovasi kemajuan sehingga menghasilkan aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan Darussalam Enterprise (DARe), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mengongsikan perkara itu semasa menyampaikan ucapan perasmian Festival PMKS Brunei yang berlangsung di Dewan Bridex 1 & 2, Jerudong, pagi tadi.

    Yang Berhormat Dato menambah, “Sesuai dengan tema acara, Dare to Innovate: Growth and Resilience through Innovation, adalah bertepatan masanya untuk PMKS kita untuk tampil keluar dengan lebih teguh dan berdaya tahan setelah menghadapi cabaran pandemik sebelumnya dengan menerapkan budaya yang lebih inovatif dalam operasi perniagaan mereka.

    “Memandangkan inovasi kekal penting untuk perniagaan kembali kepada pertumbuhan, saya berharap sesi perkongsian oleh panel penceramah semasa persidangan festival hari ini akan membantu untuk memberi inspirasi kepada golongan PMKS untuk terus mengejar inovasi untuk mencapai pertumbuhan lebih jauh. Ia juga bagi menarik lebih ramai usahawan tunas baharu muncul dan membangunkan produk dan perkhidmatan baharu yang kita perlukan untuk memacu ekonomi negara ke hadapan.”

    Menurut Yang Berhormat Dato, pandemik COVID telah memberi impak yang besar kepada mata pencarian kebanyakan PMKS di negara ini.

    Cabaran seperti bekalan gangguan rantaian, isu tenaga kerja dan aliran tunai yang tidak stabil telah menjejaskan kestabilan perniagaan, memaksa mereka mencari cara yang inovatif dan berkesan untuk kekal bertahan.

    Ini termasuk menukar model perniagaan untuk menerima teknologi dan meneroka pasaran baharu untuk mempelbagaikan aliran pendapatan mereka. Sesetengah perniagaan juga telah beralih kepada e-dagang.

    “Adalah penting untuk memupuk semangat keusahawanan yang tinggi, kebolehsuaian dan fleksibiliti dalam mengejar kemampanan perniagaan dan pertumbuhan,” katanya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menyampaikan ucapannya. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda