Tuesday, March 18, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terima sijil pengiktirafan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar telah menerima sijil pengiktirafan keahlian Fellowship of Chartered Civil Engineer yang merupakan keahlian gred tertinggi di Institution of Civil Engineers (ICE) United Kingdom.

    Yang Berhormat Dato menerima sijil berkenaan daripada Presiden ICE, United Kingdom (UK), Andrew Wyllie semasa kunjungan hormat di London, UK, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan, Yang Berhormat Menteri Pembangunan telah menjadi ahli Fellowship of Chartered Civil Engineer sejak 2006.

    Turut menyertai kunjungan hormat tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke UK, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Rooslina Weti binti Pengiran Haji Kamaludin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan wakil ICE United Kingdom – Brunei Darussalam, Awang Bahrin bin Haji Mohammad serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan.

    Manakala itu, daripada ICE UK ialah Pengarah Antarabangsa, Catherine Cole, Pengurus Pelantikan Ahli Antarabangsa, Patrick Courtney dan Pengurus Dasar Utama, Ben Goodwin.

    Kenyataan menyatakan bahawa pada pertemuan tersebut, Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan presiden ICE UK telah saling bertukar-tukar pendapat mengenai profesion dalam kejuruteraan serta keahlian jurutera profesional di Kementerian Pembangunan dan di institusi berkenaan.

    Selepas kunjungan hormat, Yang Berhormat Menteri Pembangunan bersama rombongan seterusnya dibawa meninjau ke pejabat institusi berkenaan yang mempunyai sejarah kejuruteraan daripada mantan-mantan presiden ICE UK sejak 1818 hingga 2018 dan struktur arkitek sejarah hiasan dalaman dikekalkan sehingga sekarang.

    Pada akhir perjumpaan itu, di ruang yang berlainan, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah ICE, Nick Bayerstock untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan mengenai Enabling Better Infrastructure.

    Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan rombongan ketika bergambar ramai bersama Andrew Wyllie semasa kunjungan hormat di London, UK, kelmarin. – Gambar oleh Kementerian Pembangunan

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda