Wednesday, February 5, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terkesan kos barang naik

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Sejak akhir-akhir ini, isu kenaikan harga barang hangat diperkatakan dan ia memberi kesan bukan saja kepada peniaga kecil-kecilan malah kepada golongan yang berpendapatan rendah dan mereka yang bekerja sendiri.

    Rungutan dan kegusaran orang ramai mengenai kenaikan harga barang terus menghujani media-media sosial sehingga sebilangan peniaga kecil bimbang terpaksa gulung tikar sekali gus hilang mata pencarian.

    “Kenaikan kos barangan asasi telur, ayam dan susu bukan saja berlaku di kedai runcit tetapi juga di pasar raya dengan peningkatan ketara akhir-akhir ini,” kongsi Awang Zali bin Jaya, peniaga kecil di Gerai Tasik Serubing Kampung Belimbing semasa ditemu bual.

    Beliau turut mengakui lonjakan harga barang sudah mula terjadi sejak negara berdepan pandemik COVID-19 lagi namun kenaikannya terus meningkat secara perlahan sehingga sekarang.

    Beliau turut terkilan apabila harga telur yang biasanya dijual $5.20 untuk gred B tapi kini harga tersebut melonjak kepada $6.20, malahan ayam dan daging turut meningkat sebanyak $2 hingga $3.

    Gambar Freepik
    ATAS & BAWAH: Awang Zali dan Dayang Rokiah semasa ditemu bual media mengenai kenaikan harga barangan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Kini, untuk meneruskan kelangsungan perniagaannya dan menampung keperluan harian, beliau terpaksa membuat perbandingan harga dan membeli barangan di kedai yang menawarkan harga yang berpatutan.

    Walaupun kos barang naik dan hanya mendapat keuntungan kecil dalam perniagaannya, Awang Zali menekankan jualan makanan di gerainya masih saja mengekalkan harga biasa, kerana jika dinaikkan ditakuti pelanggan lari dan mengusulkan kepada pihak berkuasa untuk terus memantau harga barangan di negara ini bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan.

    Manakala Dayang Rokiah binti Haji Abdul Rahman yang berniaga sayur di tamu Kianggeh juga turut mengakui kenaikan harga bukan saja untuk barang-barang kering dan ayam pedaging saja, tetapi sayur-sayuran turut mendapat impak yang sama.

    “Jika sebelum ini baja untuk kebun di kedai-kedai telah dijual dengan harga tinggi dan sebagai alternatif lain, kami telah membeli di Jabatan Pertanian yang menawarkan harga sangat berpatutan,” katanya.

    Walaupun berdepan kenaikan harga, Dayang Rokiah dan suaminya yang bekerja sebagai petani masih saja menawarkan harga sayur dari kebunnya pada harga biasa.

    Sementara itu, Haji Ahmad bin Donglah pula menasihatkan para pengguna dan pembeli untuk berhati-hati, walaupun ada pihak yang menawarkan promosi harga murah tapi perlu juga dilihat pada tarikhnya, kerana dikhuatiri barang tersebut hanya beberapa minggu saja lagi hendak mansuh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda