Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Industri Kewangan Islam mempunyai potensi yang amat besar untuk meningkatkan ekonomi negara secara signifikan, khususnya pasaran modal Islam.
Dalam hubungan itu, adalah amat penting merebut peluang serta meneroka inovasi dalam menerapkan prinsip kewangan Islam untuk mencapai matlamat negara dan menangani cabaran yang timbul.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rokiah binti Haji Badar selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BILIF dalam ucaptama semasa Persidangan Pasaran Modal Islam Brunei Darussalam 2024 (BICAM 2024) yang berlangsung di Hotel Mulia, hari ini.
Hajah Rokiah juga menyentuh mengenai peranan penting teknologi dalam memajukan industri serta menekankan potensi teknologi untuk memacu transformasi ke arah kecekapan dan perkembangan.
Beliau turut menggesa pengamal industri pasaran modal Islam, pihak pengawal selia dan pihak berkepentingan bekerjasama untuk menangani cabaran-cabaran baharu seperti kedayatahanan siber, teknologi kewangan dan perubahan iklim.




Di samping itu, Hajah Rokiah juga menekankan kepentingan untuk menyediakan penyelesaian holistik bagi memastikan kestabilan dan pertumbuhan sektor pasaran modal Islam.
Menurut beliau, penumpuan kepada pembangunan mampan bukannya hanya mengenai pertumbuhan ekonomi tetapi juga mengenai menjana masa depan di mana aktiviti ekonomi negara tidak menjejaskan keupayaan generasi akan datang demi memenuhi keperluan mereka.
Ia adalah bagi memastikan perkembangan yang dicatat hari ini, tidak dicapai sehingga mengorbankan persekitaran atau kesaksamaan sosial.
“Dengan memanfaatkan rangka kerja pengawalseliaan mantap kita, memupuk kolaborasi serantau dan mengekalkan komitmen tidak berbelah-bahagi kita kepada kemampanan, Negara Brunei Darussalam mampu memacu perkembangan bermakna dan meletakkan negara di kedudukan sebagai pemimpin dalam landskap kewangan global,” kata Hajah Rokiah.
“Dedikasi dan komitmen kita terhadap prinsip-prinsip itu bukan sahaja menyokong matlamat ekonomi negara tetapi juga selaras dengan matlamat yang lebih luas, iaitu pembangunan mampan,” tambahnya.









