Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Teroka inovasi, lahirkan penyelidik berkebolehan

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah memperkenankan penubuhan Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina UNISSA di Kampus Sinaut.

    Penubuhan makmal itu diharap akan membuka ruang lebih luas untuk meneroka inovasi baharu melalui penyelidikan berteknologi moden sekali gus menjadi pelaburan untuk melahirkan para graduan penyelidik yang berkebolehan.

    Baginda memperkenankan penubuhan pusat makmal saintifik tersebut semasa Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA ke-12 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas pagi tadi.

    Penyelidikan tersebut akan meliputi kajian fizikal terhadap bahan sebenar, seperti spesimen segar atau yang telah diawet.

    Selain itu, uji kaji yang akan dijalankan di dalam makmal tersebut akan menggunakan peralatan dan bahan kimia melalui analisis patuh disiplin dan standard yang diiktiraf.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, berkenan mengurniakan ijazah kepada salah seorang graduan yang diraikan pada majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA ke-12, kelmarin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah.

    Sementara itu juga, Baginda turut mengambil maklum bahawa UNISSA kini menawarkan program Sains Halal dan Pertanian, yang mana kedua-dua program ini, tekan Baginda, hendaklah bergerak seiring dengan agensi dan institusi lain bagi menjayakan agenda jaminan sekuriti makanan dan produk halal.

    Selain itu, Baginda juga menyentuh mengenai penyediaan program keilmuan atau kursus latihan para daie kerana ketajaman dakwah sangat bergantung kepada ilmu dan kepakaran.

    “Beta mengambil maklum, bahawa UNISSA menawarkan program dakwah dalam struktur pengajiannya.

    “Sehubungan itu, Beta ingin mengimbas balik saranan Beta semasa mengadakan lawatan tidak berjadual ke Pusat Dakwah Islamiah baru-baru ini, supaya para daie diberikan latihan-latihan dakwah atau diberikan peluang bagi pengajian lanjutan dalam bidang dakwah,” titah Baginda.

    Menurut Baginda, di samping bidang dakwah, bidang-bidang lain juga perlu sama diperkasa, dan para pelajar mesti digalakkan untuk memperoleh kelulusan akademik yang cemerlang.

    Menyentuh mengenai pencapaian UNISSA, Baginda yakin universiti tersebut mampu menjayakan segala program yang ditawarkannya, misalnya Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA telah diiktiraf untuk memenangi Global Islamic Finance Awards (GIFA) dalam kategori GIFA Market Leader-ship Award (Education in Islamic Banking and Finance) 2021.

    “Kemudian, UNISSA seterusnya meraih kedudukan Top 201-300 dalam WURI Ranking (World’s Universities with Real Impact) yang diterajui oleh Institute for Policy and Strategy on National Competitiveness (IPSNC),” tambah Baginda.

    Manakala kursus Projek Keusahawanan yang ditawarkan melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA pula, telah berjaya menduduki Top 51-100 dalam Kategori Semangat Keusahawanan.

    Baginda Sultan kemudiannya bertitah bahawa sistem ranking berkenaan adalah disokong oleh empat buah organisasi antarabangsa, iaitu Hanseatic League of Universities (HLU); Institute for Industrial Policy Studies (IPS); United Nations Institute for Training and Research (UNITAR); dan Tailor Institute, Franklin University Switzerland (FUS).

    “Ini adalah syiar, satu tanda kecemerlangan,” tekan Baginda yang kemudiannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada UNISSA.

    Menurut Baginda, untuk pencapaian sedemikian dapat berterusan menjadi kenyataan, maka pihak UNISSA mustahak mempunyai sistem urus tadbir yang sentiasa relevan, terutama dalam menerajui hal ehwal pelajar, seperti menyediakan jadual pengajian, cara pengajian disampaikan, aktiviti-aktiviti berupa kokurikulum di luar bilik kuliah dan lain-lain, hendaklah mengikut piawaian yang betul.

    “Kerana semua itu menjadi penentu kepada kualiti warga UNISSA, khasnya para siswa dan siswinya.

    “Malah peringatan ini juga Beta tujukan kepada semua institusi pengajian tinggi di negara ini,” titah Baginda lagi.

    Baginda Sultan seterusnya bertitah bahawa sesungguhnya pencapaian cemerlang para siswa dan siswi adalah merupakan mercu tanda bagi semua pusat pengajian tinggi.

    “Kerana itu, amat perlu semua pengajian berjalan dengan lancar dan teratur tanpa banyak diganggu oleh aktiviti-aktiviti yang tidak ada kena mengena dengan pengajian,” tekan Baginda.

    Menurut Kebawah Duli Yang Maha Mulia, ia sangat mustahak diambil berat, demi untuk mengelakkan supaya pengajian dan tujuan untuk menghasilkan siswazah yang berkualiti tidak terjejas.

    Baginda Sultan menekankan, “UNISSA, di samping untuk melahirkan siswazah yang berkualiti, ia juga merupakan ejen untuk memberikan sumbangan bermakna kepada

    “Contohnya, UNISSA telah berjaya mewakafkan Mushaf UNISSA kepada masyarakat, termasuk komuniti di luar negara yang memerlukan,” titah Baginda.

    Terdahulu, Baginda mengucapkan tahniah kepada para graduan, serta ibu bapa, penjaga dan pensyarah atas dorongan dan kejayaan mereka.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...