Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Teroka keunikan budaya, warisan Xinjiang

    XINJIANG – Xinjiang ialah sebuah rantau yang mempunyai pelbagai budaya dan warisan, di mana buah-buahan tumbuh dengan banyaknya dan pemandangan yang tidak dapat dilupakan. Sesuatu yang perlu diambil perhatian semasa berada di Xinjiang, yang terletak di barat laut China, ialah masanya.

    Walaupun jam di Xinjiang dilaraskan kepada Waktu Piawai China, namun sebenarnya ia adalah dua jam di belakang waktu Beijing disebabkan lokasi geografi Xinjiang.

    Memakai pakaian panas pada waktu pagi dan petang adalah dinasihatkan kerana suhu berubah sepanjang hari dari sejuk kepada panas dan kemudian sejuk semula.

    Tempat-tempat tertentu di kawasan yang lebih tinggi mempunyai iklim yang sejuk tetapi musim sejuk di Xinjiang dikatakan sangat sejuk dan memerlukan satu set pakaian yang sesuai. Penduduk tempatan mempunyai pakaian untuk sekurang-kurangnya tiga musim.

    Berikut ialah beberapa tempat untuk dilihat dan aktiviti untuk dilakukan di Xinjiang.

    Bersiar-siar di Taman Ekspo Pertanian Xinjiang. – ANN/The Star
    Pelawat melihat mumia Beauty of Loulan yang terkenal di Muzium Rantau Autonomi Uyghur Xinjiang. – ANN/The Star
    Kawasan Padang Pasir Kumtag terasa seperti dunia lain. – ANN/The Star
    Sebahagian daripada Gunung Flaming, yang menonjol disebabkan warna kemerah-merahannya. – ANN/The Star
    A Thousand-Year Promise To Kunlun merupakan persembahan muzikal yang dipentaskan di tempat terbuka. – ANN/The Star

    • URUMQI

    Ibu negara Xinjiang adalah agak baharu kerana ia hanya ditubuhkan lebih 200 tahun dahulu semasa Dinasti Qing. Nama Urumqi berasal dari bahasa Mongolia dan bermaksud ‘padang rumput yang indah’.

    Urumqi ialah bandar moden yang pesat membangun dan mempunyai kira-kira empat juta penduduk daripada 47 etnik. Antaranya ialah masyarakat Cina Han, Uyghur, Kazakh, Hui, Kyrgyz, Mongol, Manchu, Uzbek, Tartar dan Rusia.

    • BAZAR BESAR ANTARABANGSA XINJIANG

    Dianggap sebagai bazar terbesar di dunia, mercu tanda terkenal ini telah menjadi pusat sehenti untuk melakukan semua aktiviti pelancongan. Teroka budaya Xinjiang kerana bazar ini mempunyai segala-galanya daripada makanan dan kraf tangan hingga persembahan tradisional.

    Pengunjung juga boleh melihat makanan tradisional Uyghur seperti naan dan ‘matang’ sedang dibuat.

    • MUZIUM RANTAU AUTONOMI UYGHUR XINJIANG

    Himpunan besar artifak dan peninggalan budaya sejak prasejarah hingga Dinasti Qing dikumpulkan di muzium serantau ini. Pameran-pameran ini memberikan gambaran tentang sejarah unik Xinjiang dan menunjukkan bagaimana masyarakatnya berkembang mengikut sejarah.

    Juga mesti dilihat ialah mumia Tarim, yang dipamerkan di dewan khas. Ia merupakan saki-baki orang yang tinggal di Lembangan Tarim beribu-ribu tahun lalu. Tidak seperti mumia Mesir, mereka ‘tidak sengaja’ menjadi mumia disebabkan iklim padang pasir yang kering.

    • PADANG RUMPUT NANSHAN

    Nanshan, atau Pergunungan Selatan, ialah kawasan pemandangan di pinggir selatan Urumqi. Kambing biri-biri, lembu dan kuda berkeliaran di kawasan luar bandar, meragut di padang rumput yang menghijau dan lereng gunung yang dilitupi pokok fir. Pengunjung juga boleh pergi mendaki atau menunggang kuda, atau tinggal di khemah yurt Kazakh.

    • TIANCHI

    Salah satu pemandangan paling menakjubkan di Xinjiang ialah Tianchi, atau Tasik Syurga, di bandar Fukang. Naiki bas dari pusat pelancongan dan selepas 40 minit perjalanan melalui jalan berliku, tasik alp indah yang dikelilingi oleh gunung akan kelihatan.

    Pada hari yang cerah, Puncak Bogda yang dilitupi salji dapat dilihat dari kejauhan.

    Pengunjung boleh mendaki di sepanjang laluan pejalan kaki atau menaiki feri mengelilingi tasik.

    • TURPAN

    Walaupun beberapa tempat di Xinjiang boleh terasa sejuk, Turpan amat berbeza memandangkan ia telah merekodkan suhu tertinggi di China. Laporan sepanjang musim panas menyatakan suhu permukaan di Flaming Mountain di Turpan mencapai 80°C !

    Pelawat bolah sampai keOasis Turpan dalam masa tiga jam melalui jalan darat atau sejam dengan kereta api berkelajuan tinggi dari ibu negara.

    • TAPAK PESTA KAREZ

    Sistem pengairan karez terdiri daripada rangkaian beribu-ribu telaga menegak yang disambungkan ke terusan bawah tanah yang mengumpul air salji cair yang mengalir turun dari pergunungan. Generasi peneroka Turpan menggali dan membina karez untuk mengairi tanah ladang mereka. Pelawat boleh menuju ke bawah tanah untuk melihat cara sistem karez berfungsi di sini.

    • LEMBAH ANGGUR

    Turpan terkenal dengan anggur yang sangat manis dan buah-buahan lain. Antara tarikan di Lembah Anggur ialah taman hiburan, muzium muzik dan seni serta perkampungan rakyat.

    Berbeza dengan iklim kering dan panas di kebanyakan tempat di Turpan, ladang anggur Grape Valley yang teduh menyediakan tempat yang menyegarkan untuk berehat. Kunjungi ‘chunche’, pondok pengeringan tradisional yang digunakan oleh Uyghur untuk menukar anggur menjadi kismis.

    Awda juga boleh membeli anggur segar, jem, buah-buahan kering dan hasil tempatan lain di sini.

    • RUNTUHAN BANDAR JIAOHE

    Jiaohe ialah runtuhan bandar purba yang terletak di dataran tinggi 30m yang diapit di antara dua lembah sungai. Menikmati landskap tandus ialah runtuhan kediaman, bangunan pejabat, kuil, stupa dan makam yang menarik, semuanya diukir dari tanah.

    • GUNUNG FLAMING

    Ini adalah banjaran gunung dari klasik fantasi Journey To The West di mana Raja Monyet (Sun Wukong), menggunakan kipas ajaib untuk memadamkan apinya. Warna kemerahan gunung ini adalah berbeza dengan banjaran Tianshan. Fosil dinosaur juga telah ditemui di kawasan ini.

    • KAWASAN GURUN KUMTAG

    Dalam bahasa Uyghur, kum bermaksud ‘pasir’ dan tag bermaksud ‘gunung’. Melangkah ke padang pasir ini bagaikan memasuki alam lain kerana terletak betul-betul bersebelahan dengan bukit pasir ini adalah sebuah bandar besar.

    Terdapat banyak aktiviti di kawasan yang indah ini, di mana pelawat boleh menunggang unta atau meluncur menuruni bukit pasir dengan kereta luncur. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...