PORT DICKSON, 1 OGOS – Usahawan termasuk dari sektor koperasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) disaran meneroka peluang industri halal antarabangsa bagi melonjakkan perniagaan sedia ada sekaligus memberi impak besar kepada ekonomi negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata hampir 90 peratus PKS di Malaysia menjalankan perniagaan tanpa sijil halal, antaranya disebabkan kebanyakannya menjalankan perniagaan secara tradisional dan berasa tidak perlu untuk mendapatkan pensijilan itu.
“Jadi, kita sekarang bercakap tentang lonjakan untuk menjadikan usahawan PKS ini sebagai penyumbang kepada ekonomi negara. Dalam konteks itu, pasaran kita Malaysia tidak besar dengan 32 juta populasi tidak dapat membantu menyumbang kepada lonjakan yang kita hendak buat.
“Sehubungan itu, kita perlu menembusi pasaran antarabangsa, tetapi pasaran di luar negara tidak boleh diambil mudah kerana jangkaan pengguna atau pembeli adalah lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Seminar Tingkatkan Pendapatan Perniagaan Dengan Pensijilan Halal di sini hari ini. Mohd Hatta berkata sebanyak 8,120 syarikat termasuk syarikat PKS telah diiktiraf halal sehingga tahun lepas.
Beliau berkata usahawan bukan sahaja perlu menghasilkan produk yang mempunyai sijil halal, malah ia harus bermula daripada proses penyediaan termasuk persekitaran kilang pembuatan.
“Pensijilan halal ini salah satu pemangkin kejayaan dalam industri khususnya pemakanan, farmaseutikal, barangan kecantikan dan perkhidmatan lain.
“Kalau kita terima ini sebagai satu realiti, maka usaha harus dibuat oleh usahawan ini untuk mencapai tahap pensijilan halal kerana peluang perniagaan lebih besar termasuk menghantar barangan ke luar negara,” katanya. – Bernama
