Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Para pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian mereka ke institusi-institusi pengajian tinggi di United Kingdom (UK) berpeluang mendapatkan maklumat dan berinteraksi dengan wakil universiti-universiti dari UK dan juga institusi tempatan semasa Study UK Fair 2025 yang berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian acara berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Catherine Pochkhanavala-Cleeve.
Terdahulu sebelum perasmian, Catherine Pochkhanavala-Cleeve dalam ucapan alu-aluannya menekankan signifikan sistem pendidikan UK, pengiktirafan global dan menggalakkan para pelajar untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang bertemu serta berinteraksi dengan wakil-wakil universiti unggul di UK.
Beliau menambah UK menawarkan peluang-peluang pendidikan bertaraf dunia yang menyediakan para pelajar bukan sahaja kecemerlangan akademik tetapi juga pengalaman dan kemahiran sepanjang hayat.
Dalam hubungan itu, acara berkenaan merupakan platform penting bagi pelajar-pelajar Brunei meneroka pilihan-pilihan mereka dan seterusnya membuat keputusan yang bijak mengenai masa depan mereka, ulasnya lagi.
Sementara itu, Pengurus Negara Majlis British (Malaysia, Brunei), Jazreel Goh dalam kata alu-aluannya menyatakan kejayaan UK dalam pendidikan adalah atas komitmennya terhadap pengantarabangsaan selain mempromosikan standard akademik tertinggi, integriti dan kualiti dalam semua kolaborasi pendidikannya sementara sentiasa menyesuaikan program-programnya untuk mencerminkan keperluan pelajar yang berubah serta masyarakat secara amnya.
Dalam hubungan itu, beliau berkata pihaknya ingin bekerjasama dengan Brunei untuk menangani cabaran-cabaran dalam pendidikan, membangunkan warga yang peka global dilengkapi dengan kemahiran dan kefahaman kebudayaan yang amat penting dalam ekonomi hari ini dan esok.
Dengan memupuk kerjasama antara Brunei dan UK, kita mampu menjana pelbagai laluan bagi pelajar-pelajar untuk berkembang, membangunkan kemahiran mereka serta menyumbang kepada masyarakat secara bermakna, tekannya lagi.
Study UK Fair 2025 mengetengahkan 24 universiti terkemuka bersama-sama dengan institusi tempatan termasuk Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) dan Jabatan Biasiswa, Kementerian Pendidikan.
Para pelajar dan keluarga berpeluang berinteraksi dengan wakil-wakil dari universiti-universiti, mempelajari mengenai pelbagai program pembelajaran dan meneroka peluang-peluang biaiswa.
Di samping itu, para pengu-njung juga memperoleh gambaran yang berharga menerusi pembentangan oleh wakil-wakil universiti UK, Jabatan Visa UK dan Jabatan Konsular dengan sesi berkenaan menyediakan maklumat praktikal mengenai proses visa, belajar di UK dan sokongan yang terdapat bagi pelajar-pelajar antarabangsa.