Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Bagi tahun ke-9, agensi perkhidmatan pendidikan Findlay akan menganjurkan Pameran Pendidikan Antarabangsa yang bakal berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong mulai esok.
Dengan keputusan A Level yang telah dikeluarkan, ini adalah masa yang sesuai untuk pelajar meneroka pilihan pendidikan tinggi mereka.
Menurut Findlay, 27 perwakilan daripada institusi-institusi di United Kingdom (UK), Australia, Singapura, Malaysia, New Zealand dan Amerika Syarikat (AS) akan terlibat semasa acara itu nanti untuk membincangkan kemungkinan bagi para pelajar mempertimbangkan pengajian luar negara pada tahun ini hingga 2025.
Institusi-institusi berkenan terdiri daripada universiti bagi pelajar kemasukan secara langsung sehinggalah kepada kolej-kolej dan penyedia laluan untuk pelajar yang mencari laluan alternatif bagi memasuki universiti.
Buat pertama kalinya, pameran itu juga akan menampilkan wakil untuk universiti dan kolej di AS dan seorang lagi wakil bagi sekolah berasrama penuh di UK, di mana para perunding Findlay akan memberikan maklumat tentang institusi yang tidak dapat menghadiri pameran itu.
Universiti-universiti dalam rangking 250 universiti teratas yang mengambil bahagian dalam pameran itu termasuklah University of Birmingham, University of Dundee, University of Exeter, University of Liverpool, Newcastle University dan Queen’s University Belfast di UK, serta University of Otago di New Zealand.
Universiti-universiti berkenaan akan menarik minat terutamanya mereka yang menyasarkan biasiswa kerajaan.
Pengarah Urusan Findlay, Sunita Martin dipetik berkata, memandangkan kebanyakan universiti menawarkan biasiswa separa, beliau menggalakkan pelajar, terutamanya mereka yang akan dibiayai sendiri, untuk bertanya tentang perkara berkenaan apabila mereka mengunjungi setiap petak pameran.
Biasiswa sering disediakan bukan sahaja pada peringkat kemasukan tetapi lebih jauh semasa pengajian mereka.
Sebagai contoh, pelajar berprestasi tinggi di kolej laluan INTO juga mungkin layak untuk pelbagai biasiswa yang sangat murah apabila mereka berpindah ke universiti INTO UK dan AS.
Pegawai dari Majlis Akreditasi Kebangsaan Brunei Darussalam dan Jabatan Pengurusan Biasiswa di Kementerian Pendidikan, CfBT, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Bank Baiduri juga akan hadir semasa pameran itu untuk sebarang pertanyaan berkaitan.
Terdapat beberapa pembentangan mengenai topik yang berkaitan termasuk Studying in the USA oleh Mayra Robles dari EducationUSA akan disampaikan semasa pameran itu nanti.