Sunday, February 9, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teruja saksikan kemeriahan sambutan

    Oleh Pg Fairol RMF & Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang bertemakan ‘Menjayakan Wawasan Negara’ hari ini menarik segenap lapisan masyarakat yang memeriahkan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan sebagai lambang patriotisme.

    Wartawan Media Permata sempat menemu bual beberapa individu, ahli persatuan, para pelajar dan guru serta agensi swasta yang menyertai sambutan itu.

    Salah seorang peserta yang ditemu bual ialah Gwenda Lim William dari Malaysia yang sudah pun bertugas di negara ini selama sembilan tahun sebagai Ketua Guru Fakulti Perdagangan Kolej IGS.

    Menurut beliau, ia merupakan kali pertama beliau turun ke padang bersama pelajar kolej.

    “Biasanya saya hanya melihat Sambutan Hari Kebangsaan di kaca televisyen, namun kali ini saya ingin turut serta dalam perbarisan dan perasaan berada di sini agak berlainan, namun seronok apa lagi dapat melihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam secara lebih dekat semasa perbarisan lalu,” katanya.

    Gwenda Lim William bersama guru dan pelajar dari Kolej IGS.
    Gwenda Lim William bersama guru dan pelajar dari Kolej IGS.
    Dominic Spresni bersama guru-guru Sekolah Menengah Sufri Bolkiah.
    Dominic Spresni bersama guru-guru Sekolah Menengah Sufri Bolkiah.

    Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan ke-33 kepada rakyat negara ini.

    Manakala Guru Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Dominic Spresni berkongsi pengalaman menjayakan latihan persembahan padang bersama pelajar sekolahnya.

    Menurutnya, persembahan mereka digelar ‘frame’ menggunakan pergerakan badan mengikut tempo muzik.

    “Mereka memberikan persembahan menakjubkan walaupun dalam keadaan hujan lebat, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk mempersembahkannya ke hadapan majlis Baginda Sultan. Ia juga amat bererti kerana saya dapat melihat pelajar bersemangat tinggi, bekerjasama dan berseronok,” ujarnya.

    Seorang pelajar yang mengibarkan bendera menanti keberangkatan Baginda Sultan, Awang Mohd Aaqib bin Hardy Sufardi berkata, dia bersemangat dan gembira dapat melihat Baginda Sultan semasa acara tersebut.

    Manakala guru dari luar negara yang baru sahaja lapan minggu bertugas di sini, Jonathan Ked dari New Zealand melahirkan kegembiraan dapat menyaksikan hari bersejarah Brunei buat kali pertama.

    Menurutnya, Brunei merupakan sebuah negara yang indah, mempesona dan rakyatnya cukup peramah serta gembira dapat melihat kerabat diraja secara lebih dekat hari ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda