Oleh Nurdiyanah R. –
Sudah diketahui umum bahawa belia merupakan aset negara yang paling penting dalam memajukan sesebuah agama, bangsa dan negara. Jatuh dan bangkitnya sesebuah negara bergantung kepada golongan belianya.
Di bahu mereka letaknya tanggungjawab yang sangat besar dalam menerajui wawasan yang berbaki 12 tahun lagi.
Wawasan Negara 2035 merupakan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dimanifestasikan bagi memastikan negara mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, mempunyai kehidupan yang berkualiti serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Terokai peranan penuh iltizam
Sehubungan itu, ke arah mengetahui serba sedikit peranan belia dan beliawanis di negara dalam sama-sama menjejaki perkembangan Negara Brunei Darussalam lebih-lebih lagi dalam menyahut gagasan raja yang kita cinta, Media Permata berkesempatan menemu bual salah seorang beliawanis tanah air, Dayang Nornaqibah binti Abdul Hamid. Beliau mengongsikan pandangan bahawa sebagai seorang belia dan beliawanis, sepatutnya bersyukur dengan limpah rahmat kurniaan Allah SWT kerana menjadikan tanah air tempat kita dilahirkan ini memiliki kepimpinan yang bijaksana lagi berdaulat.
“Setentunya, golongan belia sentiasa diseru memegang peranan sebagai peneraju masa depan negara, dengan menyemai semangat siap siaga menggalas tanggungjawab dalam menempuhi cabaran negara dan global. Pada masa yang sama, kepimpinan Baginda Sultan haruslah dijadikan rujukan yang terbaik dalam kita mencapai wawasan negara 2035,” ujarnya.
Beliau selaku pengurus sebuah pusat pelancongan terletak di Kampung Tanjong Maya lebih dikenali sebagai Lamin Warisan, begitu optimis melihat perkembangan sektor keusahawanan yang melibatkan pelancongan di Negara Brunei Darussalam, di mana kita boleh menyaksikan peningkatan dalam penglibatan belia tanah air.
“Apabila mengimbas kembali situasi penularan COVID melanda negara berbanding sebelumnya, kita dapat menyaksikan sendiri impaknya kepada destinasi pelancongan tempatan. “Walaupun terdapat kekangan, namun usaha setiap destinasi pelancongan domestik dalam mempelbagaikan pakej tawaran mereka untuk menyesuaikan permintaan penduduk tempatan dalam mempromosikan percutian dalam negara sangat memberangsangkan. “Ada yang mengadakan aktiviti dengan menggunakan platform teknologi dalam talian bagi menarik para pengunjung.
“Dalam usaha berterusan mencapai Wawasan Brunei 2035, semoga kita sentiasa tabah melalui pelbagai cabaran dan dugaan serta membuktikan ke mata dunia bahawa Negara Brunei Darussalam ialah sebuah negara yang mampu berdiri teguh,” ujarnya yang juga salah seorang ahli dalam Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong.
Jadilah Solution Provider
Sementara itu, salah seorang lagi beliawanis di Daerah Tutong, Dayang Azimah Mustapa turut menyeru para belia sentiasa memberanikan diri dengan menjadikan kemahiran yang ada sebagai kekuatan untuk meningkatkan prestasi diri dan membantu masyarakat sekeli-ling.
Tekannya lagi, sentiasa memikirkan solusi dalam sesuatu masalah itu adalah amat penting disemai dalam diri para belia agar segala peluang dan harapan akan sentiasa terbuka luas.
Dengan kata lain, jadilah belia sebagai solution provider kepada negara bukannya problem provider.
Pentingnya nilai integriti
Turut berkesempatan mengemukakan pandangan tulus ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, selaku Ketua Kampung Sengkarai Daerah Tutong. Beliau yang juga penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia pada Sambutan HBK ke-17 lalu mengatakan perjuangan sejarah kemerdekaan negara itu perlu menjadi pedoman hidup namun nilai integriti dalam semua aspek kehidupan mestilah sentiasa dipulihara dari semasa ke semasa.
“Kita selaku rakyat dan penduduk di negara ini, tidak terkecuali golongan belia dan beliawanis tanah air perlulah memiliki jati diri penuh kepatuhan terhadap prinsip dan nilai moral serta etika yang teguh tanpa kompromi dalam menjalankan pelbagai aspek kehidupan demi sama-sama memberi impak positif ke arah merealisasikan ketiga-tiga matlamat Wawasan Brunei 2035.
“Jika dahulu konsep merdeka itu lebih merujuk kepada negara bebas dari cengkaman jajahan namun dalam aspek kita meniti 39 tahun pasca kemerdekaan negara, apa yang perlu kita semat dalam jiwa dan raga di mana pun kita berada ialah kedaulatan falsafah negara itu sendiri,” ujar beliau.
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz menambah salah satu cara mendaulatkan MIB itu adalah dengan memartabatkan penggunaan bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu dan sentiasa berpegang teguh kepada agama Islam sebagai cara hidup sepanjang hayat.
“Bagi belia-belia atau generasi muda janganlah mudah dipengaruhi dengan anasir-anasir luar yang bertentangan sehingga boleh memesongkan akidah dan menghakis nilai-nilai kemelayuan. Keyakinan dan kekuatan untuk sentiasa menentukan baik dan buruk sesuatu tindakan atau keputusan itu semestinya menjadi tanggungjawab kita semua lebih-lebih lagi semasa mengharungi peradaban arus kemodenan,” tekan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz.