Thursday, January 30, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tesla, BMW cabar tarif EU ke atas EV China

    BRUSSELS, 28 JAN – Syarikat milik Elon Musk, Tesla, bersama syarikat gergasi automotif Jerman, BMW, telah memfailkan cabaran undang-undang terhadap tarif import Kesatuan Eropah (EU) ke atas kenderaan elektrik (EV) buatan China di Mahkamah Kehakiman Kesatuan Eropah (CJEU), menurut kenyataan Suruhanjaya Eropah, kelmarin.

    Kedua-dua syarikat, yang masing-masing menghasilkan EV di China, menyusuli langkah pengeluar automotif China seperti BYD, Geely, dan SAIC yang sebelum ini mencabar tarif tambahan sehingga 35 peratus itu di mahkamah yang sama.

    “Kami mengambil maklum tentang kes-kes ini dan bersedia untuk mempertahankan pendirian kami di mahkamah,” kata jurucakap Suruhanjaya Eropah, Olof Gill kepada AFP.

    Brussels mengenakan tarif tambahan ke atas EV buatan China pada penghujung Oktober lalu selepas siasatan anti-subsidi mendapati bahawa sokongan kerajaan China telah melemahkan daya saing pengeluar automotif Eropah secara tidak adil.

    Langkah itu diambil ketika industri automotif Eropah berdepan cabaran akibat kos pengeluaran yang tinggi, peralihan perlahan kepada EV, dan persaingan sengit di pasaran utama seperti China.

    Namun, BMW menegaskan bahawa tarif tersebut tidak mengukuhkan daya saing pengeluar Eropah. Oleh itu, syarikat itu telah memfailkan saman bagi membatalkan peraturan tersebut demi melindungi kepentingannya.

    “Tarif imbangan ini menjejaskan model perniagaan syarikat global, mengehadkan bekalan kenderaan elektrik kepada pelanggan Eropah, dan berpotensi memperlahankan usaha dekarbonisasi dalam sektor pengangkutan,” menurut kenyataan BMW. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda