Sungguhpun penyertaan Datuk Fazley Yaakob dalam program realiti, Gegar Vaganza musim kelapan tak ubah seperti mengundang padah apabila dikecam teruk, namun, penyanyi bergelar selebriti chef tidak akan putus asa berjuang dalam bidang nyanyian.
Komen berbaur negatif dilemparkan dalam media sosial termasuk menyentuh perkara bersifat peribadi tidak pernah menggugat semangatnya, apatah lagi, bidang nyanyian sudah diterokai sejak zaman muda lagi.
Anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan pernah memiliki empat album, Kau Milikku yang dirakamkan pada 1995, diikuti Impian Yang Nyata (1996), Asmara Ini (2001) dan Cerita Asmara (2003).
Malah, lagu Asmara Ini dan Cerita Asmara pernah melonjakkan namanya sebagai penyanyi, sebelum menerokai bidang masakan. Fazley berkata, dia akan terus menyanyi, selagi hayat dikandung badan.
“Saya juga merancang untuk merakamkan single baharu dan mengadakan persembahan.

“Insya-Allah, saya akan menganjurkan persembahan di restoran saya, di Hartamas.
“Nama persembahan pun sudah ada iaitu Yang Sedang-Sedang Saja sempena nama lagu dibawakan dalam program GV8. Bagaimanapun, semuanya masih dalam perancangan.
“Maklumat lanjut mengenai persembahan istimewa ini akan diumumkan, tidak lama lagi,” katanya kepada media. Mengulas adakah pernah ‘sentap’ apabila menerima kecaman dalam media sosial, Fazley berkata, dia pernah melalui situasi lebih buruk dan dahsyat daripada ini.
“Sebelum ini, saya rasa masyarakat sudah sedia maklum dengan isu yang membabitkan saya. Rasanya ia lebih teruk dengan apa yang diterima ketika menyertai GV8.
“Jadi, saya tak pernah simpan dalam hati jika setakat kecaman dalam media sosial.
“Saya sempat membalas komen warganet yang mendoakan saya tersingkir sebelum membuat persembahan pada minggu ketiga tersingkir.
“Jujurnya, saya bersikap positif kerana sedar kemampuan saya. Lagipun, tiada satu trofi kemenangan yang pernah diperoleh sepanjang lebih sedekad bergelar anak seni,” katanya.
Ditanya soal penerimaan keluarga melihatnya menjadi bahan perdebatan dalam media sosial, Fazley berkata, ibu dan isteri sangat memahami, begitu juga anak-anak.
“Sekurang-kurangnya, misi saya untuk memberitahu anak-anak yang ayahnya seorang penyanyi berhasil.
“Saban minggu, saya sering memberitahu akan tersingkir, jadi mereka sudah bersedia,” katanya menyertai program GV8 demi anak bongsu, Alayna Selma, 4, yang tidak pernah mengetahuinya seorang penyanyi. – Agensi