Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand gabung tiga acara taolu pada Sukan SEA 2025

    NANTONG, 6 NOV – Buat pertama kalinya dalam sejarah, tiga acara wusyu bagi rutin taolu akan digabungkan untuk perebutan satu pingat pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

    Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM), Datuk Chong Kim Fatt berkata keputusan negara penganjur itu perlu dipertimbangkan semula kerana tidak pernah dilakukan pada mana-mana edisi Sukan SEA sebelum ini.

    Beliau berkata sekiranya ketetapan itu tidak berubah, ia bakal memberikan kesan kepada atlet yang bertanding.

    “Kesan utama adalah mendatangkan keletihan kepada atlet ini kerana mereka perlu beraksi dalam tiga acara serentak dalam tempoh sehari.

    “Pada masa sama, ia akan mendatangkan kesukaran kepada mana-mana negara dalam perebutan pingat,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Wusyu ASEAN-China di Universiti Nantong.

    Kim Fatt berkata perkembangan terbaharu itu dimaklumkan wakil tuan rumah pada kongres di sini yang mengejutkan rata-rata persatuan wusyu dari negara terlibat.

    “Kita akan cuba berbincang dengan pihak penganjur berhubung perkara ini. Sekiranya ia tidak berubah, kita harap supaya tempoh sukan wusyu berlangsung dilanjutkan lebih daripada tiga hari supaya ada ruang untuk satu-satu acara (rutin taolu) itu diadakan pada hari lain. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda