Oleh Azlan Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Seramai 16 orang kontinjen Brunei Darussalam yang telah meraih pingat gangsa dalam acara bola jaring selamat kembali ke tanah air selepas menyertai pertandingan di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30, Filipina, kelmarin.
Mengucapkan selamat kembali di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang turut mengalungkan sesandang dan mengucapkan tahniah kepada para atlet dan pegawai.
Turut hadir Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Haji Morshidi; Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd Azlan bin Pengiran Haji Tengah Omar serta pegawai-pegawai kanan.
Pasukan bola jaring kebangsaan telah meraih pingat gangsa selepas tewas kepada Malaysia dalam perlawanan separuh akhir dengan catatan mata 40-64. Sementara itu, pasukan Thailand juga membawa pulang pingat gangsa selepas tewas kepada Singapura.
