PUTRAJAYA, 23 JULAI – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin menegaskan tiada sebarang kaitan antara isu picagari kosong dengan sindiket penjualan vaksin COVID-19 di negara ini.
Beliau berkata pihaknya telah berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang sedang membuat siasatan berhubung penjualan vaksin, dan mendapati ia tiada sebarang ka-itan langsung dengan isu suntikan vaksin mengunakan picagari kosong.
“Daripada 16 juta dos yang telah kita beri secara kumulatif, hanya 13 laporan polis dibuat berkaitan isu suntikan picagari kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya pada sidang media harian PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini, hari ini.
Khairy berkata daripada 13 laporan polis yang dibuat, hanya satu kes disebabkan kecuaian oleh petugas kesihatan manakala selebihnya tiada bukti kukuh seperti yang didakwa dan tular dalam media sosial. – Bernama
