Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Negara Brunei Darussalam tidak ada mencatatkan sebarang kes berkaitan warga tempatan yang digunakan menjadi keldai dadah di luar negara khusus berikutan penipuan laman sosial.
Ini adalah hasil usaha yang dijalankan secara Whole of Nation bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai isu keldai dadah.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof bagi mengulas persoalan yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman di Dewan Majlis, hari ini.
Beliau turut mengongsikan bahawa kes terakhir keldai dadah yang melibatkan warga Negara Brunei Darussalam adalah pada 2009.
Sejak kes tersebut, Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam meningkatkan kesedaran awam.


Antaranya ialah memberikan panduan kepada penuntut-penuntut sekolah, ibu-ibu bapa dan penjaga serta orang ramai mengenai modus operandi sindiket antarabangsa melalui taklimat, promosi di media cetak dan elektronik, pengedaran risalah, mempamerkan poster di tempat-tempat strategik dan lain-lain.
Beliau seterusnya mengongsikan bahawa bagi menangani isu pemerdagangan orang, jawatankuasa kebangsaan bagi anti pemerdagangan orang telah ditubuhkan yang dipengerusikan oleh JPM.
Ahli-ahlinya terdiri daripada Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pejabat Peguam Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Buruh dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).
Pada masa ini terdapat dua kes pemerdagangan orang yang sedang dalam proses pendakwaan.
Yang Berhormat Pehin menekankan, isu pemerdagangan orang dan aktiviti penyalahgunaan serta pengedaran dadah di Negara Brunei Darussalam mahupun yang melibatkan sindiket dadah antarabangsa adalah dinilai serius oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Oleh itu, PPDB dan BKN, serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain akan terus memantau maklumat dan trend aktiviti-aktiviti jenayah melalui rangkaian kerjasama dengan agensi-agensi sejawat di peringkat serantau dan antarabangsa sekiranya ada kes yang melibat warga Negara Brunei Darussalam.

