Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Tiada kesihatan tanpa kesihatan mental’

    Oleh Mu’min Karim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Kesihatan mental bukan sahaja penting bagi menjadikan seseorang itu produktif di tempat kerja, malah ia adalah teras kesejahteraan yang membolehkan pekerja dan majikan menjalani kehidupan yang memuaskan.

    “Ringkasnya, tiada kesihatan tanpa kesihatan mental,” tekan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dalam ucapan perasmian Forum Kesihatan Mental dan Kesejahteraan di Tempat Kerja yang dianjurkan oleh CureHeart sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022 di Hotel Wafa, hari ini.

    Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, di Negara Brunei Darussalam, kira-kira 1.5 peratus daripada penduduk mengalami masalah kesihatan mental.

    Statistik itu menunjukkan bahawa sementara kesihatan mental bukanlah lagi perkara larangan seperti sebelumnya, usaha-usaha untuk menghapuskan stigma, menyebarkan kesedaran dan menyediakan sokongan masih menjadi keutamaan, terutamanya di tempat kerja.

    Yang Berhormat Dato merasmikan forum berkenaan bersama Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai semasa forum sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia berkenaan.

    Dihadiri oleh seramai 150 orang, dua tajuk diketengahkan iaitu Taking the lead in Mental Health discussions in the workplace yang menampilkan pakar psikologi dan Pengarah Urusan Clarity Sdn Bhd, Todd McPherson dan Ketua Polisi Sumber Manusia, Imbuhan dan Sistem, Syarikat Minyak Brunei Shell, Hajah Erana binti Haji Abas.

    Forum dikendalikan oleh wakil daripada Rangkaian Profesional Muda (YPN) Brunei, Dayang Siti Noraspadiyah binti Haji Mohammad Sah.

    Sementara itu, forum Emotional Distress in the Workplace dikendalikan oleh Pengasas Curious Mind, Shaun Hoon dengan ahli panel terdiri daripada Pengasas CureHeart dan Kaunselor dari Clarity Sdn Bhd, Hajah Norajleen Uminatul Hafizah binti Haji Almas dan wakil daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), DSP Hajah Anis @ Roszaffina binti Haji Ahmad@Mohd.

    Pengasas CureHeart dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, forum berkenaan berobjektif untuk meningkatkan kesedaran dan mengurangkan stigma secara berterusan terhadap kesihatan mental selain mendidik orang ramai mengenainya serta kesan terhadap pekerja dan sesebuah organisasi, menyediakan sumber yang boleh diakses dan pelan tindakan serta sokongan komuniti kesihatan mental di Negara Brunei Darussalam.

    “Perkhidmatan kaunseling dan psikologi adalah amat penting dalam membantu mereka yang menghadapi krisis atau isu-isu yang melibatkan perubahan tingkah laku, cara berfikir dan perubahan perasaan.

    “Dengan perkhidmatan tersebut, mereka akan dapat dibimbing secara professional untuk menjadikan mereka seorang insan yang lebih rasional dan celik akal,” tambahnya.

    Forum membincangkan cabaran yang berkaitan dengan menangani kesihatan mental di tempat kerja sambil menawarkan pandangan dan pelan tindakan tentang cara menangani cabaran berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda