DUBAI, 17 MAC – Sebuah kapal yang belayar di selatan Yaman melaporkan berlaku letupan berhampiran hari ini, kata agensi keselamatan maritim Britain, insiden terbaharu ketika pemberontak Houthi menyerang perkapalan di laluan penting Laut Merah.
United Kingdom Marine Trade Operations (UKMTO) berkata sebuah kapal komersial ‘telah melaporkan letupan berdekatan dengan kapal itu’, tidak mengakibatkan kemalangan jiwa atau kerosakan.
Letupan berlaku ketika kapal itu sedang belayar ‘85 batu nautika timur Aden’ di Yaman, dan kapal tersebut ‘sedang menuju ke pelabuhan seterusnya”, kata UKMTO, yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja.
Namun, ia tidak mengenal pasti kapal tersebut.
Tiada pihak menuntut bertanggungjawab terhadap serangan yang dilaporkan, yang dilakukan selepas Houthi Yemen yang disokong Iran mengancam untuk memperluaskan kempen serangan yang telah menjejaskan perdagangan global.
Pemberontak telah melancarkan puluhan serangan peluru berpandu dan dron ke atas perkapalan di Laut Merah dan Teluk Aden sejak empat bulan lalu, tindakan yang dikatakan mereka sebagai solidariti dengan rakyat Palestin.
Houthi berkata mereka menyasarkan perkapalan berkaitan Israel sebagai sebahagian daripada ‘paksi penentangan’ sekutu Iran dalam bantahan terhadap perang Israel ke atas Hamas di Semenanjung Gaza. – AFP