LONDON, 30 DIS – Mohamed Salah berkata perbincangan mengenai kontrak baharu bersama Liverpool tidak ada perkembangan selepas pemain itu sekali lagi menjadi tonggak ketika membelasah West Ham 5-0 kelmarin untuk melebar kelebihan lapan mata di puncak Liga Perdana.
Pemain Mesir itu menjaringkan satu gol dan membantu dua lagi gol untuk menjadikan jumlah golnya dalam semua pertandingan musim ini kepada 20 ditambah 17 bantuan dalam 24 penampilan Liga Perdana dan Liga Juara-juara.
Salah, bersama rakan sepasukan Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold, akan menamatkan kontrak pada penghujung musim, bermakna mereka boleh membincangkan perpindahan percuma dengan kelab bukan Inggeris mulai 1 Januari.
Laporan dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengatakan perjanjian semakin dicapai namun Salah menafikannya.
“Masih jauh untuk kami memperkatakan tentang perkara itu,” kata Salah kepada Sky Sports. “Saya tidak mahu berkata sesuatu kepada media dan orang mula bercakap, akan tetapi belum ada perkembangan baharu mengenainya.
“Sekarang saya fokus kepada pasukan dan berharap kami memenangi Liga Perdana,” tambahnya.
Arsenal dan Chelsea mempunyai peluang untuk mengurangkan jurang dengan Liverpool dalam beberapa hari akan datang tetapi kejuaraan liga utama Inggeris ke-20 dan kejuaraan kedua dalam tempoh 35 tahun itu semakin hampir dalam genggaman Liverpool.
“Satu-satunya perkara dalam fikiran adalah saya mahu Liverpool memenangi liga dan saya mahu menjadi sebahagian daripadanya.
“Itulah yang saya fokuskan. Saya akan melakukan yang terbaik untuk memenangi trofi.
Kami berada di landasan yang betul tetapi ada pasukan lain cuba mengejar kami. Kami hanya perlu merendah diri dan teruskan perjuangan,” tambah Salah. – AFP