Tuesday, March 18, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada pilihan raya Jepun tahun ini

    TOKYO, 2 OKT – Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga mungkin tidak membubarkan parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan tahun ini, sebaliknya akan lebih menumpukan kepada usaha menangani krisis COVID-19, lapor agensi berita Kyodo.

    Tinjauan media yang dibuat selepas Suga mengambil alih pentadbiran pada pertengahan September, menunjukkan kabinetnya memperoleh banyak sokongan, menguatkan lagi spekulasi beliau akan dapat mandat yang kuat daripada pengundi.

    Memetik pegawai kanan pentadbirannya semalam, Suga merancang untuk mengotakan janjinya mengutamakan usaha membendung penularan jangkitan sambil membawa semula ekonomi ke landasan yang baik, sehubungan itu tidak mungkin bagi beliau mengadakan pilihan raya dalam tempoh beberapa bulan lagi.

    Menurut ahli parlimen kanan Parti Liberal Demokratik (LDP), sesi Diet (parlimen) luar biasa kemungkinan diadakan pada 26 Oktober sebaik Suga kembali dari Vietnam dan Indonesia.

    Ketua Setiausaha LDP Toshihiro Nikaidan Hiroshi Moriyama, ketua hal ehwal parlimen parti itu, mengadakan pertemuan pada Khamis dilaporkan untuk membincangkan perkara berkenaan.

    Persidangan parlimen akan datang dijangka memberi fokus mengenai tindak balas yang diambil dalam mencegah COVID-19 dan usaha untuk mengesahkan perjanjian perdagangan dengan Britain dapat dibuat mengikut tarikh ditetapkan supaya ia boleh dilaksanakan pada Januari. – Bernama

    Gambar fail menunjukkan Yoshihide Suga (tengah) menerima tepukan dari Taro Aso (kiri), Toshimitsu Motegi (dua kiri) dan pegawai lain selepas beliau dipilih perdana menteri Jepun oleh parlimen di Tokyo. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda