Rita Rudaini yang bakal menunaikan umrah pada 12 Disember ini tidak berani berjanji pulang dengan imej berhijab, biarpun menyimpan niat ke arah itu.
Bintang filem Mami Jarum ini memberitahu, jika hatinya sudah terbuka untuk bertudung, dia akan memastikan penampilannya mematuhi syariah.
“Memang terdetik keinginan dalam hati untuk berhijab, tetapi saya tidak berani berjanji apa-apa lagi. Insya-Allah, apabila tiba masanya, saya akan berhijab dengan sempurna. Saya tidak mahu pakai tudung kerana pura-pura. Apabila memilih untuk berhijrah, saya tidak mahu lagi berbaju ketat yang mengikut bentuk tubuh atau berseluar senteng,” katanya kepada media. Rita berkata, sepanjang berada di Tanah Suci, dia mahu berdoa agar Allah tetapkan hati apabila dirinya sudah berhijab.
“Saya tidak mahu suka-suka hati pakai dan buka (tudung). Saya bimbang jika suatu hari nanti, dek tidak ikhlas, saya bertindak mengeluarkan kenyataan tidak tenang apabila bertudung. Sebab itulah saya mahu benar-benar bersedia dengan keputusan yang bakal dibuat. Rugilah apabila sudah berniat untuk berubah tetapi pemakaian masih tak sempurna,” katanya.
Rita juga menolak bertudung untuk mempromosikan produk hijab atau atas tujuan berfesyen. Bakal menunaikan umrah buat kali ketiga, Rita ditemani dua puteranya iaitu Airit Rayyan Rizqin,10, dan Airit Qaqa Arjuna, 8.
Sepanjang berada di Tanah Suci, Rita meminta mutawif mengawasi kedua-dua anaknya ketika bersolat. – Agensi
