“Watak pembantu pun saya sudah kira okay… Saya tak demand.”
Itu dijelaskan Lana Nodin yang masih ternanti-nanti peluang berlakon daripada mana-mana penerbit dan pengarah drama tempatan.
Isteri kepada bintang sukan bola tampar berasal dari Amerika Syarikat (AS), Mohd Daud McKienzie itu memberitahu, tiada istilah bersara atau meninggalkan dunia lakonan dalam hidupnya.
“Sebelum ini, saya pernah memperlahankan rentak seni kerana memberi tumpuan kepada suami, anak dan perniagaan. Namun, minat berlakon sama sekali tidak terhakis. Tidak tahulah sama ada produksi rasa takut hendak menawarkan saya berlakon. Takutkan apa saya pun tak tahu. Mungkin ramai yang fikir saya tidak menetap di Malaysia,” katanya ditemui pada majlis Melodi Salute sempena ulang tahun ke-30 program hiburan popular terbitan TV3 baru-baru ini.
Lana menganggap mungkin tawaran kurang diterima kerana watak untuk pelakon sepertinya terbatas. Menyentuh soal bayaran, Lana tidak pernah meletakkan harga tinggi.
“Namun, biarlah setimpal dan berbaloi. Takkanlah bayar rendah untuk komitmen lakonan yang panjang, bukan? Apatah lagi, kita memasuki 2020, tak mungkin soal bayaran pelakon masih di takuk lama,” katanya. – Agensi
