Tuesday, April 15, 2025
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak sengaja

    Tidak sengaja

    Tidak sengaja

    Tidak sengaja

    Tidak sengaja

    (Siri 15)

    Oleh Dino MN –

    Meja bulat no.13 hangat lagi dengan satu berita yang terpampang di dada akhbar hari itu.

    Lelaki pertama bersama lelaki kedua dan lelaki ketiga sudah datang awal dari Azis dan Hasan yang baru saja datang bergabung. Pelayan restoran itu terus membawa hidangan yang biasa untuk mereka.

    “Hari ini sahihlah sudah akan kebankrapan Tuan Bin Esmit,” kata Azis sambil membuka surat khabar Media Permata keluaran hari itu. Hasan mengambilnya dan membaca tajuk besar ‘KEBANKRAPAN’. Dengan itu mahkamah telah mengeluarkan notis kebankrapan kepada Tuan Bin Esmit kerana gagal membayar saman 1.5 juta kepada keluarga Pak Haji dan keluarganya. Atas arahan mahkamah semua harta dan aset atas nama pemilikan Tuan Bin Esmit telah disita. Andaikan jumlahnya tidak mencapai 1.5 juta Tuan Bin Esmit akan di penjara.

    “Kali ini pasti Tuan Bin Esmit akan meringkuk dalam penjara Maraburung…kasian…,” kata Hasan.

    “Keluarga Pak Haji akan kaya dan bertambah kaya lagi,” kata lelaki pertama sambil bangkit untuk pergi ke tandas. Lelaki ketiga memesan lagi minuman untuknya.

    Tuan Bin Esmit diberi notis untuk mengosongkan rumahnya yang telah disita bersama barang-barang perabot di dalamnya. – Agensi
    Norhana meminta Said menyediakan dokumen untuk urusan anaknya yang hendak belajar universiti luar negara. – Freepik

    “Jika mengikut undang-undang kebankrapan semua harta akan disita…kereta, tanah, rumah dan apa saja harta atas nama Tuan Bin Esmit akan menjadi milik Pak Haji…”

    “Jika begitu rumah Tuan Bin Esmit yang besar itu dan rumah-rumah sewanya akan dimiliki keluarga Pak Hajilah?,” tanya lelaki kedua. Semua mereka angguk bersetuju.

    “Kita tunggu dan lihat apa yang terjadi selepas ini.

    “Jika aku ada kesempatan berjumpa Pak Haji, pasti aku minta salah satu rumah Tuan Bin Esmit yang disita itu,” kata Azis bercanda.

    “Jangan harap Zisss…Zisss,” cemuh lelaki pertama. Akhirnya meja no.13 bubar dan mereka berpisah dan berjanji lagi bertemu di situ.

    Di kediaman Tuan Bin Esmit pula telah didatangi oleh beberapa orang pegawai polis bersama pegawai mahkamah untuk memberikan notis kepada Tuan Bin Esmit untuk mengosongkan rumahnya yang telah disita bersama barang-barang perabot di dalamnya.

    Pihak polis telah memasang tanda yang rumah itu mesti dikosongkan sesegeranya dan Tuan Bin Esmit ditegah membawa barang perabot kerana sudah disita.

    Tuan Bin Esmit terduduk dan tak mampu berdiri lagi. Sekujur tubuhnya menjadi lemah sementara isterinya menangis di sisinya.

    “Bagaimana ini pa…boleh bawakah kereta bapa itu?,” kata pekerjanya yang juga sebagai pemandunya. Tuan Bin Esmit giling kepala tak bersuara langsung.

    “Telefonkan Hasnah minta ambilkan kami sekarang jua,” pinta isteri Tuan Bin Esmit kepada pekerjanya. Pekerjanya terus membuat panggilan kepada Hasnah anak Tuan Bin Esmit.

    Sekitar setengah jam kemudian Hasnah tiba di halaman rumah bapanya dan dia melihat depan pintu rumah bapanya dipasang tanda ‘DISITA’. Baru dia ingat bahawa bapanya telah gagal membayar saman yang dituntut oleh keluarga Pak Haji.

    “Mama sama bapamu ni Senah sudah miskin…benar-benar miskin…sia-sia saja usaha bapamu akhirnya jadi papa kedana..,.” kata isteri Tuan Bin Esmit kepada anaknya sambil menangis. Hasnah tidak dapat menahan rasa sedih dan pilunya kerana selama ini bapanya bertungkus lumus mengumpul harta tetapi hujungnya kemiskinan jua menantinya.

    Mengikut kata isteri Tuan Bin Esmit rumah dua buah yang terletak di kawasan bandar Tutong, yang setiap sebuahnya kembar dua yang jumlahnya empat unit semua itu juga disita.

    “Tadi sewaktu saya ke mari saya melintas depan rumah Tuan Bin Esmit, pihak polis telah memasang notis digantung depan pintu rumah Tuan Bin Esmit perkataan ‘disita’,” kata Jalia anak perempuan Pak Haji. Pak Haji duduk santai saja tidak menyampuk kata anaknya Jalia.

    “Kaka Jalia duduk sini…,” panggil Norhana yang dari pagi sudah sampai di rumah keluarga angkatnya. Jalia datang dan duduk di sisi Norhana sambil bersalaman.

    “Bang Midon sama bang Said belum timbul-timbul lagi…ke manakah mereka?,” tanya Norhana pada Jalia.

    “Abang Said ke unit dermasiswa Kementerian Pendidikan bertanya pasal anaknya yang tidak dapat dermasiswa untuk melanjutkan pengajian luar negeri…jadi dia hendak merayulah tu,” jelas Jalia kepada Norhana.

    “Oh… begitu rupanya. Mudah-mudahan saja abang Said berhasil,” doa Norhana. Tujuan Norhana ke rumah keluarga angkatnya ada hendak memberitahu kepada keluarga angkatnya yang dia akan berangkat ke London untuk menandatangani pemilikan apartmen di Scotland. Urusan pembeliannya semuanya diuruskan oleh CEO pekerja syarikatnya yang di London. Norhana cuma datang untuk menandatangani hak milik apartmen atas nama syarikatnya Al-Hana. Apartmen itu sudah berubah wajah dengan cat baru diberi nama ‘Al-Hana Hostel’.

    Said baru sampai dengan langkah longlai tidak bermaya. Tadi dia baru saja ke unit dermasiswa Kementerian Pendidikan untuk urusan dermasiswa anaknya.

    “Ada keputusan yang baik untuk anak abang belajar keluar negeri?,” tanya Norhana kepada Said abang angkatnya. Said cuma giling kepala lemah. Permohonan anaknya untuk mendapatkan dermasiswa keluar negeri gagal.

    “Buat apa abang Said bersusah payah. Abang ada banyak duit, masanya untuk digunakan sekarang.

    “Yalah dik…adik cari mana universiti yang terkemuka yang anak adik suka…,” kata Jalia pada adiknya Said.

    “Apa jurusan yang anak bang Said hasratkan?,” Norhana bertanya kepada Said.

    “Katanya dia ingin bidang kedoktoran…mau jadi doktor pakar tulang katanya,” jelas Said.

    “Nah…kebetulan minggu depan Ana berangkat ke Scotland…di sana pun ada universiti terbaik…Ana dapat uruskan tempat anak abang kuliah di sana.”

    Norhana menerangkan kepada Said abang angkatnya tujuan dia pergi ke London.

    Mendengar penjelasan dari Norhana wajah Said mulai cerah dan memberi semangat untuk anaknya peluang belajar di bidang yang dicita-citakannya.

    “Anak abang Said tidak perlu risau sebab dia boleh tinggal di hostel Al-Hana milik Ana,” kata Norhana menjelaskan. Said menjadi percaya diri, impian anaknya akan menjadi kenyataan. Dia cuma menyediakan semua dokumen yang diminta Norhana untuk dia bawa ke sana.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Tidak sengaja

    Tidak sengaja

    Tidak sengaja

    Disyorkan Untuk Awda