Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Tiga agenda kurangkan kadar pengangguran

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Kadar pengangguran negara telah menurun daripada 7.3 peratus kepada 4.9 peratus, menurut laporan Kaji Selidik Tenaga Kerja 2021 baru-baru ini.

    Pencapaian itu merupakan hasil sokongan padu daripada semua pihak khususnya pemain-pemain industri, institusi-institusi latihan serta syarikat-syarikat swasta yang terus memberikan sokongan dengan mengambil dan menyediakan peluang bagi warga tempatan untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja mereka.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman ketika berucap semasa perasmian Pesta Kerjaya 2022 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Bridex, Jerudong, hari ini.

    Namun begitu, beliau menyarankan supaya kita terus peka dan tidak hilang pandang kepada visi jangka panjang untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Dalam memastikan tenaga kerja terus peka dengan dunia pekerjaan yang sentiasa berubah, penekanan diberikan kepada tiga agenda penting, jelas beliau lagi.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kerjaya 2022 di Pusat Persidangan Antarabangsa Bridex, Jerudong, kelmarin.
    Kadar pengangguran negara telah menunjukkan penurunan dalam tinjauan dibuat pada tahun lalu.

    Agenda pertama adalah untuk menekankan pentingnya pembelajaran sepanjang hayat dengan memaksimumkan potensi sepenuhnya tenaga kerja Brunei.

    Beliau berkata, ia boleh dilakukan dengan memupuk pembelajaran sepanjang hayat menerusi peningkatan kemahiran dan memberikan kemahiran baharu yang bukan hanya terhad kepada individu yang membuat perubahan peranan kerja yang besar sahaja tetapi kita perlu untuk sentiasa belajar serta meningkatkan keupayaan untuk terus selari dengan pasaran global yang pesat berubah.

    Manakala itu, agenda kedua ialah menyediakan tempat kerja yang progresif dan inklusif yang mempromosikan persekitaran kerja yang cemerlang.

    Yang Berhormat Dato berkata, dalam konteks itu, organisasi diseru untuk menggunakan pakai amalan pekerjaan yang menjana dan mengekalkan sebuah tempat kerja yang inklusif serta mempromosikan kesejahteraan pekerja.

    Pemimpin korporat digalakkan untuk mengambil peranan aktif dan melabur dalam memahami cabaran-cabaran dihadapi oleh tenaga kerja masing-masing termasuk mereka yang mempunyai keupayaan yang berlainan.

    Dengan melakukan perkara itu, jelas beliau lagi, ia akan menarik dan mengekalkan bakat serta juga melahirkan tenaga kerja yang lebih terlibat dan produktif.

    Bagi menyokong usaha itu, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenalkan beberapa dasar dan garis panduan seperti Perintah Pekerjaan, 2009, Perintah Agensi Pekerjaan, 2004 dan Akta Imigresen.

    Undang-undang berkenaan meliputi secara komprehensif hal ehwal buruh termasuk pengambilan dan hak pekerja, gaji, terma dan syarat kerja serta hubungan antara pekerja dan majikan.

    Di samping itu, Brunei juga merupakan ahli kepada Covention of the International Labour Organisation (ILO) di mana Jabatan Buruh telah melaksanakan usaha yang ekstensif untuk mencapai standard yang digariskan dalam konvensyen berkenaan.

    Pada masa yang sama, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa pihaknya juga secara aktif berusaha ke arah pendigitalan proses-proses buruh dengan Sistem Pengurusan Buruh Kebangsaan (NLMS) akan menjadi platform bagi memudahkan prosedur buruh sedia ada.

    Agenda ketiga, jelas Yang Berhormat Dato, adalah untuk mengukuhkan hubungan dan kolaborasi antara sektor awam dan swasta di mana kita telah menyaksikan jumlah warga tempat yang bekerja di sektor swasta meningkat.

    Kaji Selidik Tenaga Kerja bagi 2021 telah mencatatkan peningkatan daripada lebih 83,000 orang kepada 86,000 orang warga tempatan bekerja dalam sektor swasta, dedahnya lanjut.

    Oleh itu, bagi memastikan prestasi itu berkekalan dan bagi pertumbuhan berterusan, ia memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak yang berkepentingan utama iaitu sektor swasta, kerajaan dan individu.

    Dalam hubungan itu, usaha berkenaan adalah amat penting dalam memaksimumkan lagi penjanaan peluang-peluang pekerjaan baharu.

    Selain itu, beliau menyatakan adalah mustahak dalam mempersiapkan warga yang bersedia bagi masa depan yang dinamik serta dapat menyesuaikan diri mereka untuk masa hadapan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...